Education
ICCC 2025: UUM, Jabatan Penjara Malaysia Terajui Dialog Global Pemulihan Insan
Gambar oleh Faris Lukman Marzuki
LANGKAWI, 9 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia terajui dailog Global Pemulihan Insan dengan menganjurkan International Correctional and Counselling Conference (ICCC2025).

Persidangan bertemakan “Reimagining Rehabilitation: Global Innovations in Counselling and Correctional Practices” ini berlangsung serentak di Akademi Koreksional Malaysia, Langkawi dan Nilai Springs Resort Hotel, Negeri Sembilan yang dihadiri 190 peserta.
Dalam ucapan utamanya, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, YBhg. KJP Dato’ Haji Abdul Aziz Abdul Razak menegaskan bahawa Jabatan Penjara memainkan peranan penting dalam mengimbangi antara hukuman dan pemulihan bagi membentuk masyarakat yang lebih selamat dan inklusif.

“Incarceration bukan sekadar pemenjaraan. Ia membawa implikasi besar daripada kesesakan penjara, beban kewangan, hingga risiko keselamatan dan kesihatan.
“Kita kini bergerak ke arah Integration, peralihan daripada pengasingan kepada pemerkasaan sosial. Ini bermakna memberi peluang kepada bekas banduan untuk kembali menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan baharu Jabatan Penjara kini berteraskan restorasi dan rekonsiliasi, termasuk pelaksanaan Seksyen 43 dan 46 Akta Penjara 1995, peluasan alternatif kepada hukuman pemenjaraan serta pelaksanaan Program Latihan Industri Tanggungjawab Sosial Korporat (CSI) bagi memperkukuh penerimaan sosial terhadap bekas banduan.

Antara matlamat utama inisiatif ini ialah mengurangkan kadar pengulangan jenayah (reoffending), menjadikan bekas banduan sebagai alternatif kepada tenaga kerja asing, serta meningkatkan kesiapsiagaan melalui kemahiran dan sikap positif.
Dato’ Aziz turut menegaskan bahawa kejayaan pemulihan tidak hanya diukur berdasarkan kadar jenayah semata-mata, tetapi pada sejauh mana masyarakat sanggup memberi peluang kedua kepada bekas pesalah.
“Pemulihan sejati berlaku apabila masyarakat membuka hati. Apabila bekas pesalah diterima semula sebagai insan, bukan dihukum selama-lamanya,” katanya.

Persidangan ini turut menampilkan ucaptama kedua oleh Dr. Kimberly Asner-Self dari Touro University, New York, yang berkongsi pandangan tentang kesejahteraan emosi dan keletihan dalam kalangan pegawai koreksional dan kaunselor.
Majlis perasmian ICCC 2025 disempurnakan oleh TKP Charin Promwichit, Pengarah Penjara Negeri Kedah, dan turut dihadiri Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Siti Rozaina Kamsani dan Pengarah ICCC2025, Dr. Ahsani A. Malek.
Sesi petang diisi dengan beberapa bengkel dan pembentangan ilmiah termasuk Support Over Silence oleh Dr. Adnan Omar, Therapeutic Consultation: Solution-Focused Approach and Al-Ghazali’s Perspective oleh Prof. Dr. Noor Azniza Ishak, serta pembentangan oleh Dr. Isabel David dan En. Mohd Syafieq Ismail. – Bakhari Che Mohamed Ariff