Education

ILGS, SOG perkukuh kerjasama antarabangsa dengan berkongsi pandangan dalam bidang perumahan mampu milik

Berita dan gambar Dr. Nor Suzylah Sohaimi

KUALA LUMPUR, 4 Julai 2025: Felo penyelidik di Institute of Local Government Studies (ILGS), Pusat Pengajian Kerajaan, Dr. Nor Suzylah Sohaimi telah membuat pembentangan ilmiah bertajuk “Malaysia’s Housing Landscape” di UUM Kampus Kuala Lumpur.

Program ini dianjurkan bersempena dengan lawatan kerja delegasi COMCEC (Standing Committee for Economic and Commercial Cooperation of the Organization of Islamic Cooperation) yang sedang melaksanakan perbincangan bertemakan “Decent Housing for the Poor in the OIC Member Countries”.

Malaysia telah dipilih sebagai salah satu negara dalam perbincangan bersama COMCEC atas faktor kekuatan dasar perumahan negara, pelbagai inisiatif kerajaan seperti Program Perumahan Rakyat (PPR), Dasar Perumahan Negara, dan peranan aktif sektor awam-swasta dalam pembangunan perumahan berdaya huni.

Dalam sesi pembentangan tersebut, Dr. Nor Suzylah berkata, landskap dasar perumahan Malaysia bermula dari pasca kemerdekaan hingga kini, serta isu-isu kontemporari seperti pemilikan rumah dalam kalangan golongan B40, fenomena overhang unit, perumahan kos sederhana, dan keperluan perumahan mampan yang bersifat inklusif dan mesra alam telah dikupas secara komprehensif.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk memperkenalkan ILGS sebagai pusat penyelidikan utama dalam bidang pembangunan dan kerajaan tempatan serta urus tadbir.

Delegasi COMCEC telah diberi penerangan tentang struktur ILGS, bidang keutamaan penyelidikan, serta kepakaran felo-felo penyelidik, di samping menekankan bahawa perkongsian strategik antara ILGS dan organisasi antarabangsa seperti COMCEC amat penting dalam memperkukuh jaringan ilmu, memperluas impak penyelidikan serta penerbitan di peringkat global.

Delegasi penyelidik COMCEC yang diketuai oleh Prof. Dr. Ali Hepşen dari Istanbul University dan Dr. Levent Sümer turut mengadakan sesi perbincangan dan temu bual bersama ahli akademik Malaysia lain sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan laporan dasar OIC yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Rasmi COMCEC yang dijadualkan berlangsung pada September 2025 di Ankara, Türkiye.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button