Education

iMathKidz Playgroup Musim Kedua bermula dengan kesedaran AI

Gambar Nurqistina Izzati Azizan

KUBANG PASU, 18 Ogos 2025: Program inovasi sosial iMathKidz Playgroup kembali dengan nafas baharu melalui musim kedua yang diberi nama iMathKidz Playgroup Magical Bootcamp, di Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba, sebuah sekolah luar bandar di daerah Kubang Pasu.

Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan program musim pertama yang dilaksanakan pada 2024 di komuniti Mukim Jeram, Tunjang, di bawah Social Innovation Grant Scheme (SIGS) bernilai RM15,000.   

Inisiatif ini diteruskan dengan fokus yang sama iaitu untuk memperkasa minat serta kemahiran operasi asas dan penyelesaian masalah matematik murid-murid luar bandar. Namun kali ini, ia disuntik dengan nilai tambah baharu, iaitu kesedaran tentang peranan matematik sebagai asas kepada teknologi Kecerdasan Buatan (AI) agar dapat memupuk minat mereka terhadap matematik sejak usia awal lagi.

Musim kedua ini dilaksanakan oleh pasukan penyelidik dari Institute of Excellent Teachers and Leaders in Education (IETLE), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah dana Universiti Malaya Global Transformation Research Grant (UMGTRG) bernilai RM125,000.00.

Gabungan 3 projek penyelidikan

Ketua Program, Prof. Madya Dr. Siti Nazuar Sailin yang juga yang juga merupakan Pengarah IETLE, berkata, program kali ini terdiri daripada tiga projek utama yang  menggabungkan elemen penyelidikan dan pemindahan ilmu kepada komuniti.

Menurutnya, projek pertama memfokuskan kepada pembangunan modul pembelajaran interaktif berasaskan permainan dan aktiviti kumpulan.

Projek kedua menjurus kepada pembangunan intrumen penilaian dan pentaksiran alternatif matematik berbentuk projek autentik berkumpulan diketuai oleh Dr. Nurliyana Bukhari.

Selain itu, program ini turut disertai oleh pasukan penyelidik dari Universiti Malaya yang melaksanakan projek ketiga, pembangunan  instrumen psikologi murid terhadap matematik, diketuai oleh Prof. Madya Dr. Haslina Muhamad.

Ketiga-tiga projek ini digabungjalinkan untuk menjayakan program intervensi iMathKidz Playgroup Magical Bootcamp.

Program ini akan dilaksanakan selama 10 sesi pertemuan bermula Ogos sehingga November 2025 dengan pelbagai pengisian interaktif bersama 64 orang murid dari sekolah luar bandar yang terpilih.

Pecahkan AIs

Sesi pertama telah berlangsung pada 16 Ogos, dimulakan dengan soal-selidik serta ujian pra untuk mengenalpasti motivasi dan kesedaran AI semasa para peserta serta tahap penguasaan matematik mereka.

Seterusnya, satu sesi pengenalan interaktif diberi nama “Pecahkan AIs” telah dijalankan, di mana murid-murid diperkenalkan dengan konsep asas AI secara santai dan menyeronokkan.

Mereka didedahkan tentang peranan matematik yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan teknologi AI, permainan video, dan aplikasi harian yang banyak digunakan pada masa kini. Permainan Robot dan Otak AI menjadi salah satu pengisian dalam sesi tersebut.

Dr. Siti Nazuar Sailin berkata, program ini bukan sekadar mengajar matematik tetapi mendidik murid-murid luar bandar untuk sedar tentang kepentingan matematik kepada perkembangan teknologi dan pekerjaan masa hadapan sejak awal.

“Kami mahu murid-murid luar bandar ini melihat matematik bukan lagi sebagai sesuatu yang sukar, tetapi sebagai kunci kepada teknologi masa depan.

“Mereka sudah terdedah kepada teknologi AI, jadi bila mereka faham bagaimana matematik digunakan dalam AI, mereka akan lebih termotivasi untuk belajar. Inilah matlamat sebenar Magical Bootcamp, menyemai rasa ingin tahu, keyakinan, dan kesedaran bahawa masa depan teknologi bermula dengan asas matematik yang kukuh,” katanya.

Dengan pendekatan baharu ini, iMathKidz Playgroup Magical Bootcamp diharapkan mampu membina bukan sahaja keyakinan murid-murid luar bandar terhadap matematik, tetapi juga membuka horizon pemikiran mereka tentang masa depan teknologi dengan cara yang santai.

Program ini diharap dapat menyokong matlamat pembangunan komuniti luar bandar ke arah Pendidikan Berkualiti (SDG 4) sejajar dengan keperluan pendidikan matematik. – Fathini Badrudin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button