Education

INASIS Bank Rakyat perkasa jalinan antarabangsa di Van Lang University, Vietnam

Gambar Teoh Kah Yee

HO CHI MINH CITY, 19 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Biro Integrasi Komuniti dan Antarabangsa, Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa & Residen Siswa (JKPSRS) INASIS Bank Rakyat telah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melaksanakan satu program lawatan antarabangsa ke Van Lang University (VLU), Vietnam. 

Lawatan ini disertai oleh seramai 28 pelajar yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan serta memupuk pemahaman silang budaya antara kedua-dua institusi.

Program dimulakan dengan lawatan rasmi ke sekitar kampus VLU, diikuti dengan persembahan pembukaan oleh pelajar dari kedua-dua universiti. Sesi diteruskan dengan perkongsian ilmiah oleh panel jemputan, Ms. Ngo Thi Lan yang menyentuh aspek sejarah, budaya dan keunikan masyarakat Vietnam yang kaya dengan nilai tradisi.

Peserta turut diberi peluang menyertai aktiviti interaktif seperti permainan tradisional Malaysia (Sepak Takraw dan Dam Haji) bersama pelajar VLU, sebagai medium pertukaran budaya antara dua negara.

Pada sebelah petang, sesi kraftangan DIY menggunakan daun kelapa memperlihatkan kreativiti pelajar dalam menghasilkan hasil seni tangan, sekali gus mempertingkatkan penghargaan terhadap budaya Vietnam yang diwarisi turun-temurun.

Timbalan Pengarah Program, Sharweswaraan Kumaraval berkata, kemahiran silang budaya bukan lagi satu kelebihan, tetapi satu keperluan dalam landskap kerjaya global masa kini.

“Program ini bukan sahaja berjaya membina jaringan kerjasama antarabangsa, malah turut memperkukuh nilai kepimpinan, integrasi dan kesedaran global dalam kalangan pelajar,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pusat Sokongan Pelajar Antarabangsa VLU, Ms. Nguyen Thi Kim Lan,  dan Penolong Pengetua INASIS Bank Rakyat, UUM, Syazani Marzuki. – Nur Hayati binti Md Sharif

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button