Inasis BSN dan NGO bersatu jayakan program khidmat masyarakat di Tanjung Dawai
Gambar Inasis BSN
TANJUNG DAWAI, 7 Mei 2025: Seramai 35 pelajar dari Inapan Siswa (Inasis) BSN telah menyertai Program Amal Siswa Harapan (KHASIH) 2025 di Kampung Tanjung Dawai, sebuah perkampungan nelayan yang terletak di daerah Kuala Muda pada 1 hingga 3 Mei lalu.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Amal Insan Bersatu Negeri Kedah dan Solid Waste and Public Cleaning Management Corporation yang turut aktif dalam inisiatif pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan komuniti.
Pengetua Inasis BSN, Suhaimi Ismail berkata, tujuan utama program ini adalah untuk memupuk semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa melalui pelbagai aktiviti yang melibatkan komuniti setempat, khususnya dalam aspek kebersihan dan interaksi sosial.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong membersihkan kawasan pantai, sesi sembang santai bersama penduduk kampung, serta aktiviti riadah dan permainan bersama kanak-kanak kampung.
Pengarah Program KHASIH 2025, Sarmini Paramasivan berkata, penglibatan NGO dalam program kali ini telah memberi nilai tambah yang besar kepada pengalaman para pelajar.
“Kerjasama dengan NGO bukan sahaja melancarkan perjalanan program, malah membuka minda para pelajar tentang pentingnya sinergi antara institusi pendidikan dan organisasi masyarakat dalam menjayakan misi sosial dan alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Amal Insan Bersatu Negeri Kedah, Mohd Shahfaliqarif Teo Rizal berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penglibatan pelajar dalam aktiviti seperti ini dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Penduduk Kampung Tanjung Dawai turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas usaha murni para pelajar dan NGO dalam menceriakan kawasan mereka dan mempererat hubungan antara golongan muda dan masyarakat luar bandar.