Inasis Proton jayakan KKN Antarabangsa di Yogyakarta
Berita dan gambar Ahmad Syafiqul Syamil Ahmad Hisham
YOGYAKARTA, 26 Ogos 2025: Inapan Siswa (Inasis) Proton Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan kejayaan program International Outbound Mobility: Serantau Sejahtera Misi Komuniti Lestari (SSMKL) dengan pelaksanaan Kuliah Kerja Nyata (KKN) Antarabangsa yang berlangsung dari 14 hingga 18 Ogos lalu di Desa Gunung Kidul, Yogyakarta.
Program ini dianjurkan bersama Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY) dan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan pelbagai aktiviti berteraskan kelestarian. Antara aktiviti utama termasuklah gotong-royong desa, penanaman pokok, program kesihatan masyarakat, serta bengkel pendidikan untuk kanak-kanak.
Agenda kemuncak KKN Antarabangsa ini adalah sambutan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia pada 17 Ogos, yang diraikan bersama penduduk tempatan dengan penuh semangat kebersamaan.
Pengarah program, Nur Saffiyah Shaharuddin berkata, aktiviti KKN ini memperlihatkan bagaimana pelajar dapat memberi impak positif secara langsung kepada masyarakat.
“Keterlibatan secara terus dengan komuniti desa menjadikan pelajar lebih dekat dengan realiti kehidupan masyarakat dan memahami makna sebenar kelestarian,” katanya.
Sementara itu, Pengetua Inasis Proton, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin berkata, program ini bukan sekadar membina pengalaman antarabangsa, malah memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat.
“Kita mahu pelajar belajar erti kepemimpinan melalui khidmat masyarakat, kerana pengalaman seperti ini akan membentuk mereka menjadi graduan yang lebih matang, berjiwa besar dan bertanggungjawab,” katanya.
Program KKN Antarabangsa ini sekali gus meneguhkan peranan Inasis Proton dalam menghubungkan pendidikan, budaya, dan kelestarian di peringkat serantau.