Education

Inasis Tradewinds lakar pengalaman politik nusantara

Gambar Muhammad Alfian Haikal Hafidzi

MEDAN, 12 Ogos 2025: Delegasi Program Mobiliti Outbound Antarabangsa Inapan Siswa (Inasis) Tradewinds telah mengadakan lawatan ilmiah ke Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kota Medan, Indonesia bagi mendalami sistem pemerintahan dan landskap politik negara jiran, selain memperkukuh kefahaman pelajar terhadap kepimpinan serantau.

Lawatan ini dimulakan dengan sesi pertama bersama Muhammad Sofyan Tanjung selaku Analis Kebijakan Humas DPRD Kota Medan, yang membicarakan perbezaan antara sistem pemerintahan Indonesia dan Malaysia.

Menurutnya, struktur politik Indonesia yang mengamalkan sistem republik yang memberi kuasa eksekutif secara langsung kepada presiden, berbeza dengan sistem parlimen Malaysia yang menempatkan kuasa eksekutif kepada Perdana Menteri yang dipilih oleh majoriti ahli Parlimen.

Beliau turut menerangkan secara ringkas struktur Dewan Rakyat dan Dewan Daerah serta dinamik parti politik di Indonesia.

Sementara tu, Pengetua Inasis Tradewinds, Dr. Asma Mat berkata, lawatan sebegini sangat bagus kerana dapat menambahkan ilmu pengetahuan berkenaan dengan sistem pemerintahan di Indonesia, sekali gus dapat membuka mata dan minda pelajar dengan dunia secara global.

Sesi kedua diteruskan bersama M. Faisal, B.IRKH, MH (Fraksi PAN) yang merupakan Anggota DPRD Provinsi Sumatera Utara yang menyambut baik kedatangan delegasi UUM dan mengambil peluang untuk memperkenalkan latar belakang sosial, budaya dan ekonomi Sumatera Utara.

Menurutnya, pemimpin masa kini perlu berani mencetuskan perubahan dan berpegang pada integriti serta kecekapan dalam mentadbir.

Beberapa peserta turut mengemukakan soalan kritikal seperti peranan pejabat parti yang berasingan di DPRD, isu rasuah dalam politik Indonesia dan had umur bekerja bagi rakyat Indonesia.

M. Faisal menegaskan kepentingan pemisahan fungsi parti politik dan legislatif untuk memastikan tadbir urus yang telus, di samping turut menekankan bahawa pencegahan rasuah terus menjadi agenda penting dalam sistem politik Indonesia dan perubahan undang-undang buruh juga sedang giat diperbaharui bagi melindungi hak pekerja.

Lawatan ke DPRD ini telah membuka ruang perkongsian idea dan diplomasi pelajar yang merentas sempadan, sekali gus menanam minat dan kesedaran politik dalam kalangan pelajar sebagai pemimpin masa hadapan yang cakna akan sistem pemerintahan rantau ini. – Akmal Hariz Shahril

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button