Institut Pengurusan Halal (IHM) dan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Halal melawat Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM
Gambar Bahagian Pengurusan Halal (BPH), JAKIM
PUTRAJAYA, 12 November 2024 – Institut Pengurusan Halal (IHM) bersama 30 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal (mod 3u1i), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan ke Bahagian Pengurusan Halal (BPH), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pengarah IHM, Dr. Nor Aina binti Mhd Khotib berkata, lawatan ini bertujuan memberikan maklumat serta pendedahan kepada pelajar mengenai peranan JAKIM dalam pembangunan ekosistem halal Malaysia.
Selain itu, menurutnya, lawatan ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk memahami lebih lanjut tentang prosedur pensijilan halal dan peranan JAKIM dalam memastikan pematuhan kepada standard halal di peringkat nasional dan global.
Sesi taklimat pertama telah disampaikan oleh Nur Elyana Elias dari Seksyen Audit, Cawangan Pengesahan Halal (CPH), BPH dengan tajuk “Pengenalan Pensijilan Halal Malaysia.” Taklimat ini memberikan penerangan yang komprehensif tentang proses pensijilan halal dan peranan JAKIM dalam mengawal selia pensijilan halal di negara ini.
Sesi kedua diteruskan oleh Mohd Asrul Hafiz dari Seksyen Kimia 2, Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) dengan tajuk “Pengenalan Malaysia Halal Analysis Centre (MyHAC).” Beliau berkongsi maklumat mengenai peranan MyHAC dalam analisis dan pengujian bahan-bahan yang terlibat dalam pensijilan halal, serta kepentingan pusat ini dalam memastikan produk halal mematuhi piawaian yang ditetapkan.
Selain sesi taklimat, pihak JAKIM juga turut membuka reruai mini MyHAC bagi memberikan gambaran kepada pelajar berkenaan analisis makmal yang dijalankan di MyHAC.
Pihak IBS, UUM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM atas kesudian menerima lawatan ini dan memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengetahuan yang amat berharga dalam bidang pengurusan halal. – Nurul Syahidah Muhamad Puzi