Education

Institut Pengurusan Halal (IHM) dan pelajar Sarjana Muda Pengurusan Halal sertai Program Halal Talent Symposium 2024 

Gambar Halal Development Corporation (HDC) 

PETALING JAYA, 12 November 2024 – Institut Pengurusan Halal (IHM) dan 30 pelajar Sarjana Muda Pengurusan Halal (mod 3u1i), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dijemput untuk menyertai Program Halal Talent Symposium 2024 yang diadakan di Hotel Avante, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Program yang dianjurkan oleh Halal Development Corporation (HDC) ini bertujuan untuk memberi pendedahan berkaitan penghasilan bakat halal yang berkemahiran tinggi, selaras dengan permintaan industri halal yang semakin berkembang. Penyertaan dalam Halal Talent Symposium ini melibatkan wakil agensi, ahli akademik, pemain industri, dan pelajar jurusan halal. 

Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib juga telah dijemput sebagai salah seorang panelis dalam sesi kedua program tersebut.

Sesi ini telah membincangkan peranan penting institusi pendidikan dalam menyediakan bakat halal yang mampu memenuhi keperluan industri halal yang semakin berkembang.

Dalam sesi ini, Dr. Nor Aina mengetengahkan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan dan industri bagi melahirkan tenaga kerja yang berkualiti dan sesuai dengan permintaan pasaran. 

Selain itu, IHM turut dipelawa untuk membuka reruai di ruang pameran hotel tersebut yang bertujuan untuk mempromosi program yang dianjurkan oleh pihak IHM. Turut serta dalam program ini adalah felo penyelidik IHM yang turut menyumbang kepada penyelidikan dan pembangunan dalam bidang halal. 

Penyertaan pelajar-pelajar ini bertujuan untuk memberi pendedahan langsung kepada mereka mengenai peluang-peluang kerjaya dalam industri halal, serta memperkenalkan kepada mereka kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang pesat.  

Program Halal Talent Symposium 2024 ini bukan sahaja memberi manfaat kepada para pelajar, tetapi juga berperanan penting dalam memperkukuhkan hubungan antara akademia, industri, dan kerajaan, sekaligus memberi impak positif kepada pembangunan industri halal negara.  – Nurul Syahidah Muhamad Puzi 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button