Kem Lestari Generasi Madani serlahkan komitmen SEFB UUM terhadap pendidikan hijau
Gambar M. Syazwi Sholihin
SINTOK, 31 Julai 2025: Kolaborasi strategik antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu dan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Kem Lestari Generasi Madani pada 29 hingga 30 Julai lalu melibatkan lebih 40 sekolah rendah dan menengah dari seluruh daerah Kubang Pasu.
Program ang julung kali diadakan ini bertujuan memupuk gaya hidup lestari dalam kalangan generasi muda melalui pelbagai aktiviti berteraskan kelestarian dan pemerkasaan ilmu. Sebagai universiti yang berkonsepkan kampus hijau dan dikelilingi keindahan alam semula jadi yang indah maka, pemilihan UUM sebagai lokasi program amat bertepatan dengan tema program.
SEFB telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan Aktiviti Literasi Kewangan Hijau, yang merupakan antara pengisian utama kem tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk, LDK berasaskan permainan interaktif, pendedahan awal fintech dan pengurusan kewangan peribadi yang bertujuan memberi pendedahan tentang pendekatan bijak dalam membuat keputusan harian.
Pengarah Program, Dr. Zalina Zainal berkata, pendekatan yang bersifat interaktif dan mesra pelajar ini bukan sahaja menarik minat peserta, malah berjaya menyampaikan mesej penting berkaitan literasi kewangan dan gaya hidup lestari dengan lebih berkesan.
Menurutnya, guru yang hadir turut memberikan maklum balas positif terhadap pengisian program yang disifatkan sebagai padat, menyeronokkan dan berinformasi.
“Usaha ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani untuk membentuk generasi celik kewangan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“SEFB amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif bermakna ini dan berharap kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Majlis penutup program disempurnakan oleh Mohd Habib Abd Hamid, mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Kubang Pasu dan Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Dr. Diara Md. Jadi, yang mewakili Dekan SEFB serta tbarisan Pengurusan SEFB, PPD Kubang Pasu, pensyarah, dan pegawai teknikal.- Dr. Zalina Zainal