Kerja lapangan arkeologi perkasa kemahiran praktikal
MERBOK, 18 Mei 2025: Seramai 54 orang pelajar Program Sejarah Gunaan (BAH), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai program kerja lapangan arkeologi sebagai sebahagian daripada keperluan Kursus SALNK1233 Pengantar Arkeologi.
Program yang berlangsung di kawasan sekitar Muzium Arkeologi Lembah Bujang ini merupakan komponen praktikal utama kursus yang bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada pengalaman arkeologi sebenar merangkumi teori, metodologi dan aplikasi di lapangan.
Para pelajar telah terlibat secara langsung dalam beberapa aktiviti utama termasuk sesi lawatan ke muzium, pemetaan koordinat serta ekskavasi di tapak percubaan di Muzium Arkeologi Lembah Bujang.
Aktiviti ini dijalankan dengan kerjasama Muzium Arkeologi Lembah Bujang, yang menyediakan sokongan teknikal dan sumber maklumat berkaitan tapak-tapak arkeologi di Lembah Bujang.
Pelajar turut diberi pendedahan terhadap jenis-jenis artifak, teknik dokumentasi lapangan serta kepentingan pemeliharaan tinggalan arkeologi.
Menurut pensyarah pengiring, Dr. Naizatul Akma Mohd Mokhtar, program ini bukan sahaja memberikan nilai tambah dari segi penguasaan teori dan kemahiran teknikal, malah turut memperkukuh kemahiran insaniah pelajar seperti kerja berpasukan, pemikiran kritikal dan kepimpinan.
“Kursus ini dirangka untuk memberikan pengalaman menyeluruh kepada pelajar. Mereka bukan sahaja belajar teori dalam kelas, tetapi juga diberi peluang untuk mengendalikan proses ekskavasi dan analisis data di tapak sebenar, yang sangat penting dalam pendidikan arkeologi,” ujarnya.
Peserta, Mohamad Azrul Mohd Shukri, berkongsi bahawa pengalaman menyertai kerja lapangan ini sangat bermakna kerana ia memberikan peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan teori yang dipelajari di dalam kelas secara langsung di tapak arkeologi.
“Sepanjang kuliah, kami mempelajari pelbagai teori arkeologi termasuk proses ekskavasi, teknik pemetaan, dan cara mengenal pasti artifak. Namun, apabila berada di tapak sebenar, saya lebih memahami bagaimana teori-teori ini diaplikasikan secara praktikal.
“Pengalaman memegang peralatan ekskavasi sebenar dan merekod koordinat dapat memperkukuh kefahaman tentang konteks artifak dan proses dokumentasi data arkeologi,” katanya.
Menurutnya, pengalaman ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal dan kefahaman akademik, malah turut menanamkan rasa tanggungjawab dalam memelihara warisan sejarah negara.
Program kerja lapangan seperti ini diharap dapat memperkukuh minat pelajar terhadap bidang arkeologi dan warisan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang peka terhadap nilai sejarah dan pemeliharaan warisan negara. – SLCP