Education

Kerjasama antara SOE, SLCP dan PKKPK bantu bawa kajian kes dari universiti kepada komuniti

Gambar PKKPK

SINTOK, 4 Mei 2025: Sempena Minggu Autisme, Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) telah bekerjasama dengan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) serta Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan (PKKPK) dalam menganjurkan program “Universiti dan Komuniti: Memperkasa Kesedaran Autisme Secara Inklusif” yang berjaya menarik perhatian ramai.

Dalam program ini, satu slot istimewa mengetengahkan pendekatan inovatif apabila buat pertama kali, protagonis dan watak-watak lain dalam kajian kes dibawa secara langsung untuk berinteraksi bersama khalayak umum.

Pengarah PKKPK, Prof. Madya Dr. Narentheren Kaliappen telah berkongsi hala tuju PKKPK serta komitmen pusat ini dalam membawa hasil kajian kes pensyarah ke dalam ruang perbincangan komuniti.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk menganjurkan lebih banyak forum kajian kes secara langsung bersama tokoh sebenar bagi memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat.

Kajian kes yang ditampilkan dalam program ini bertajuk “The Rise of the Unicorn: Partnership-Driven School Leadership in Inclusive Education” dan telah ditulis dan diketuai oleh Dr. Nazmin Abdullah, bersama ahli pasukannya iaitu Dr. Surianti Lajuma, Dr. Mohd Fairuz Jafar, dan Mohd Dr. Nadzri Ishak melalui Skim Geran Penulisan Kajian Kes Tahun 2024.

Kajian ini mengupas perjalanan inspirasi Fauzi Zakaria, Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Malik, yang telah mencurahkan lebih dua dekad dalam memimpin sekolah berteraskan pendidikan inklusif.

Bermula sebagai guru pada tahun 2003 dan kini bergelar pengetua, beliau telah menunjukkan kepimpinan luar biasa dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyokong pelajar berkeperluan khas. Melalui pendekatan berasaskan Teori Ekologi Urie Bronfenbrenner, kes ini mengetengahkan bagaimana beliau membina kerjasama antara warga sekolah, keluarga dan masyarakat secara holistik.

Beliau amat bersyukur dan berbangga kerana pengalamannya dapat dijadikan panduan berguna kepada guru dan bakal pendidik.

“Apa yang saya lakukan selama ini bukan untuk dikenang, tetapi jika boleh menjadi manfaat dan rujukan, itu sudah cukup menggembirakan,” katanya.

Peserta berpeluang menyaksikan secara langsung bagaimana seorang guru yang berdedikasi, dengan sokongan padu daripada ibu bapa, mampu mengubah kehidupan seorang murid istimewa. Ramai yang meluahkan rasa terinspirasi dan terdorong untuk menyokong usaha ke arah pendidikan inklusif yang lebih menyeluruh.

Dr. Nazmin Abdullah, salah seorang penulis kajian kes, menyatakan bahawa penulisan kes ini adalah satu usaha untuk mendokumentasikan amalan terbaik kepimpinan sekolah inklusif di Malaysia.

“Kita mahu guru-guru dan pemimpin pendidikan melihat bahawa perubahan itu mungkin berlaku, asalkan ada sokongan, kefahaman dan kesungguhan,” katanya.

Kejayaan program ini membuktikan bahawa perubahan sebenar dalam pendidikan hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat antara sekolah dan keluarga, berlandaskan empati, kesabaran dan visi bersama. Ia bukan sahaja menyuntik semangat baharu dalam kalangan pendidik, tetapi juga memperkukuh peranan institusi pengajian tinggi dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

Program ini turut dihadiri oleh wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis, IPG Darulaman, dan Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara, guru-guru sekolah rendah dan menengah yang menunjukkan sokongan padu terhadap usaha memperkukuh pendidikan inklusif melalui perkongsian amalan terbaik dan penyelidikan berbentuk kajian kes. – Nur Amirah Zakaria

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button