Education

Kesibukan persiapan aidilfitri tidak halang warga akademik SQS Teroka Platform Pembelajaran Interaktif thinktap

Gambar oleh: Mohamad Huzaifah Mohd Dzubaidi

SINTOK, 17 Mac 2026: Kesibukan menggalas tugasan hakiki pengajaran dalam kemeriahan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang kian terasa, sedikit pun tidak memudarkan semangat warga akademik untuk terus memperkasakan kaedah pengajaran mereka.

Pada 17 Mac 2026, Jawatankuasa Pengajaran dan Pembelajaran (Global Online Learning) Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah komited meneruskan agenda kecemerlangan akademik dengan berjaya menganjurkan satu slot perkongsian ilmu bagi meneroka platform pembelajaran dalam talian yang inovatif, iaitu ThinkTap.

Sesi perkongsian ini menjadi lebih bermakna apabila ia turut menyelitkan latihan praktikal yang dikendalikan secara langsung oleh pembangun platform ThinkTap sendiri, iaitu Profesor Madya Dr. Izwan Nizal Mohd Shaharanee dan Profesor Madya Dr. Jastini Mohd Jamil.

Sesi bimbingan secara terus daripada pakar ini telah memberi peluang kepada para peserta untuk melihat dan mencuba sendiri keupayaan platform tersebut dalam mentransformasikan suasana bilik kuliah melalui penglibatan pelajar secara masa nyata.

ThinkTap merupakan sebuah platform yang dibangunkan khusus untuk kegunaan warga akademik universiti bagi menggalakkan penglibatan dan interaksi pelajar dalam kuliah secara bersemuka mahupun dalam talian.

Antara kelebihan utama platform ini adalah ia membolehkan pensyarah mencipta soalan dalam pelbagai format seperti aneka pilihan, betul/salah, pelbagai jawapan, serta jawapan pendek dan panjang di dalam satu platform.

Peserta didedahkan dengan fungsi aplikasi ini menerusi tatacara yang sangat mudah dan pantas, di mana pensyarah hanya memerlukan sekitar 2 minit untuk menetapkan sesi. Platform ini menyediakan mod pembelajaran fleksibel seperti Rush, Thinking, dan Seminar. Lebih menarik, bagi perbincangan terbuka atau topik sensitif, mod Seminar menggalakkan pelajar memberikan respons dan berkongsi idea dan pandangan tanpa didedahkan identiti mereka.

Untuk pelaksanaannya, pensyarah hanya perlu menjana dan berkongsi kod 6 digit untuk diedarkan, dan pelajar boleh terus menyertai sesi tersebut menggunakan peranti web atau mudah alih masing-masing tanpa sebarang pendaftaran akaun. Sepanjang sesi, platform pintar ini juga turut memaparkan analitik data dan maklumat seperti peratusan ketepatan serta tahap penglibatan pelajar dalam bentuk visual.

Susulan daripada maklum balas positif yang diterima sepanjang sesi perkongsian ini, pihak penganjur dan pembangun platform ThinkTap mengambil kesempatan untuk menyeru agar lebih ramai warga akademik dapat mengintegrasikan ThinkTap di dalam sesi pengajaran mereka.

Penggunaan platform berkonsepkan interaksi dua hala ini dilihat amat relevan bagi memastikan kelancaran komunikasi pelajar, sekali gus memastikan tiada pelajar yang tercicir. Bagi mana-mana tenaga pengajar yang berminat untuk menyertai pensyarah-pensyarah lain dalam mentransformasikan kelas mereka, ThinkTap sedia untuk dicuba tanpa had buat masa ini tanpa sebarang caj. – Fazillah Mohmad Kamal

Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dicapai dengan melayari laman sesawang rasmi di https://www.thinktap.link/dashboard.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button