Education

Kursus Pemantapan Glosari dan Pelaporan ABT UA & HPU perkukuh tadbir urus kewangan IPT

Berita dan gambar Nur Afiqah Abdul Halim

ALOR SETAR, 6 Oktober 2025: Kursus Pemantapan Glosari dan Pelaporan Akaun Belum Terima (ABT) Universiti Awam (UA) dan Hospital Pengajar Universiti (HPU) telah berjaya dianjurkan dengan penuh berimpak selama empat hari bermula 28 September hingga 1 Oktober lalu di Hotel Raia.

Program ini menghimpunkan wakil daripada 20 Universiti Awam dan 10 Hospital Pengajar Universiti, menjadikannya antara inisiatif berimpak tinggi dalam memperkukuh pelaporan Akaun Belum Terima (ABT) bagi institusi pendidikan tinggi negara.

Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh Akauntan Kanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Isma Juwana Ab Aziz, yang menekankan bahawa pelaporan ABT bukan sekadar proses teknikal, tetapi cerminan kepada kecekapan dan ketelusan pengurusan kewangan institusi.

Beliau turut menyatakan bahawa keseragaman glosari dan format pelaporan antara UA dan HPU adalah penting bagi memastikan data yang dikemukakan kepada KPT adalah tepat, telus dan boleh dibandingkan.

Sepanjang kursus, sesi-sesi telah dikendalikan oleh barisan penyelaras ABT lantikan Majlis Bendahari Universiti Awam (MBUA) yang berpengalaman dan berwibawa, iaitu Mazidah Samsudin (UUM), Mazitah Ahmad (UPM), Suraya Abdul Hamid (UKM) dan Dalila Idris (PPUM).

Mereka membentangkan pelbagai topik kritikal termasuk penetapan glosari hutang pelajar, kutipan tertunggak, KPI pengurangan ABT, serta pelaporan kes pecah kontrak.

Bengkel ini telah diselaraskan dengan baik oleh Pengarah Program, Siti Farhana Shabudin yang juga Akauntan, Jabatan Bendahari UUM yang memastikan kelancaran operasi dan penyampaian maklumat sepanjang program berlangsung.

Pelaksanaan program turut disokong oleh sembilan biro teknikal yang menguruskan aspek pendaftaran, pengangkutan, kewangan, makanan, multimedia, cenderamata, keselamatan, protokol dan kebajikan peserta.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Bursar, Mohtar Hasim, Yang Menjalankan Tugas Bursar UUM, yang menyeru agar semua peserta mengambil serius tanggungjawab kutipan hasil dan memahami implikasi kewangan serta undang-undang yang terkandung dalam Pekeliling Perbendaharaan Malaysia W.P. 10.3.

Beliau turut menekankan bahawa pelaporan ABT yang tepat menjadi asas kepada pembuatan keputusan strategik di pelbagai peringkat terutamanya peringkat kementerian.

Kursus ini membuktikan komitmen bersama UA dan HPU dalam memperkukuh integriti pelaporan kewangan serta memperkasa tadbir urus institusi pendidikan tinggi negara. Ia menjadi medan perkongsian ilmu yang berimpak tinggi dan membuka ruang kepada penambahbaikan berterusan dalam sistem pelaporan hasil.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button