Lawatan CeTMA ke USM dapat pendedahan dan pemahaman perkukuh kelestarian
Gambar CeTMA
PULAU PINANG, 27 April 2025: Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan satu program lawatan penanda aras kelestarian ke Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 18 dan 19 April lalu.
Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Masnita Misiran berkata, lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan pendedahan dan pemahaman mendalam mengenai strategi, inisiatif dan amalan terbaik yang telah dilaksanakan oleh USM dalam memperkukuhkan kelestarian di institusi mereka.
Menurutnya, USM telah dipilih sebagai destinasi lawatan kerana pengiktirafan yang diterima di peringkat nasional dan antarabangsa dalam pelaksanaan amalan kelestarian. Program ini juga dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkasakan peranan CeTMA sebagai Sustainability Office dan Centre of Excellence di UUM.
Sepanjang lawatan, delegasi CeTMA telah menghadiri sesi perkongsian bersama yang diketuai oleh pihak USM yang memperincikan pendekatan menyeluruh mereka terhadap kelestarian, termasuk pengurusan tenaga, pengurangan sisa, pendidikan lestari dan penglibatan komuniti.
“Lawatan ini memberikan pelbagai manfaat kepada CeTMA, antaranya ialah memperkukuhkan peranan CeTMA dalam menerajui agenda kelestarian di kampus melalui pendedahan kepada pendekatan berimpak tinggi yang telah terbukti berkesan.
“Selain itu, lawatan ini juga membolehkan CeTMA mempelajari secara langsung strategi dan amalan terbaik USM yang boleh disesuaikan mengikut keperluan UUM. Tambahan pula, hubungan strategik antara CeTMA dan USM telah dapat dibina, membuka peluang untuk kolaborasi masa depan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan bersama,” katanya.
Maklumat dan hasil daripada sesi perkongsian dan perbincangan yang sangat bermanfaat oleh USM tersebut dapat menjadi panduan tambahan kepada pembangunan pelan strategik kelestarian CeTMA yang lebih menyeluruh dan berfokus.
Pihak USM juga telah membawa delegasi CeTMA ke lawatan tapak projek inovasi tanaman cendawan yang direalisasikan antara pihaknya dan komuniti setempat. Projek ini bertujuan membantu golongan komuniti setempat dalam menjana pendapatan melalui penjualan tumbuhan cendawan. Projek ini secara langsung dapat membantu golongan komuniti setempat melalui penglibatan pihak USM yang boleh dicontohi oleh banyak pihak.
Secara keseluruhan, lawatan penanda aras ini diharap dapatmemberikan impak yang besar kepada CeTMA dalam memperkukuh fungsinya sebagai peneraju kelestarian di UUM. Pendedahan yang diperoleh sepanjang lawatan ini menjadi panduan berharga dalam merangka dan melaksanakan pelan strategik yang komprehensif untuk menyokong agenda kelestarian universiti. Dengan inspirasi daripada amalan terbaik USM, CeTMA terus komited untuk menjadi agen perubahan ke arah kampus lestari yang mampan, inklusif dan berdaya tahan. – Muhammad Luqman Hakim Rosdi