Lawatan penanda aras UUM ke SoLLat USM perkukuh jalinan akademia
Gambar UBA
PULAU PINANG, 18 Ogos 2025: Unit Bahasa Antarabangsa (UBA), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (SoLLaT), Universiti Sains Malaysia (USM) yang merupakan kesinambungan daripada lawatan rintis pada 24 Jun lalu.
Perbincangan berkumpulan yang memfokuskan aspek silibus, kaedah pengajaran, serta aktiviti pelajar mengikut bahasa masing-masing, yang dijalankan telah memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk memahami pendekatan akademik secara lebih mendalam.
Pengarah Program, Aida Husni Abdul Hamid berkata, tujuan utama lawatan rasmi ini adalah untuk memperkukuh jalinan kerjasama, di samping memperluaskan perkongsian pandangan dan kepakaran dalam pengajaran bahasa.
Menurutnya, kolaborasi ini diharap dapat membuka peluang baharu dalam aspek pembangunan kurikulum, inovasi pedagogi, dan kualiti pembelajaran dan pengajaran bahasa asing.
Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik, Azril Ali yang mewakili pihak SoLLaT menyambut baik lawatan tersebut dengan penuh rasa syukur.
Menurutnya, pertemuan ini amat bertepatan kerana SoLLaT juga sedang dalam proses semakan semula kurikulum (curriculum review), sekali gus menjadikan perkongsian dengan UUM sebagai input yang bernilai.
Selain itu, lawatan ini turut melibatkan taklimat akademik serta tinjauan fasiliti pembelajaran di SoLLaTseperti lawatan ke kelas dan makmal bahasa di SoLLaT.
Kedua-dua pihak sepakat untuk menjadikan pertemuan ini sebagai platform kerjasama yang lebih erat dalam pembangunan kurikulum, serta aktiviti akademik dan kokurikulum pelajar pada masa hadapan. – Zeety Kartini Abdul Hamid