Education

Lawatan SOC, UUM ke STIKOM Tunas Bangsa kukuhkan kerjasama pendidikan digital nusantara

Berita dan gambar Dr. Nur Suhaili Mansor

SIANTAR, 1 Julai 2025: Delegasi Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan akademik selama dua hari ke STIKOM Tunas Bangsa, Siantar, Indonesia, bagi memperkukuh hubungan strategik dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan digital dan pembangunan pelajar serantau.

Lawatan ini diketuai oleh Dekan SOC, Prof. Dr. Osman Ghazali, bersama barisan kepimpinan akademik kanan termasuk Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Fadli Zolkipli; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Husniza Husni; Pengarah Institute for Advanced and Smart Digital Opportunities (IASDO), Dr. Hapini Awang, serta penyarah dan pelajar pascasiswazah dari SOC, UUM.

Delegasi UUM yang tiba pada 26 Jun lalu disambut oleh Pengasas dan Penasihat STIKOM Tunas Bangsa, Tuan H. Ahmad Ridwansyah, bersama barisan pengurusan institusi termasuk Dr. Dedy Hartama dan Dr. M. Safii.

Dalam sesi ucapan aluan, Bapak Ridwansyah menegaskan bahawa kerjasama rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia adalah penting untuk memperkasakan ekosistem pendidikan digital yang kompetitif di peringkat global.

Dr. Osman berkata, perbincangan dua hala sepanjang lawatan ini merangkumi peluang pelaksanaan program mobiliti pelajar dan pensyarah, pemadanan kurikulum, penawaran kursus dalam bidang teknologi maklumat, serta penyelidikan bersama dalam bidang keselamatan siber, kecerdasan buatan dan sistem pintar.

Kedua-dua institusi turut menyatakan persetujuan awal untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam masa terdekat.

Lawatan diteruskan ke Bukit Senyum, Motung, destinasi pelancongan popular dengan latar belakang Danau Toba yang indah. Aktiviti ini menyuntik elemen budaya dan silaturrahim dalam kerjasama akademik yang sedang dibina.

Kunjungan dua hari ini mencerminkan iltizam SOC, UUM dan STIKOM Tunas Bangsa untuk melahirkan graduan celik digital yang bukan sahaja kompeten dalam bidang teknologi, malah berjiwa nusantara dan berdaya saing global.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button