Education

Little Readers, Big Dreams dan Jom Read pupuk keyakinan kanak-kanak dalam Bahasa Inggeris

Berita dan gambar Nur Farah Farhana Abdullah dan Muhammad Aizad Fikri Azman

SINTOK, 23 Julai 2025: Sekumpulan pelajar jurusan pendidikan (SOE) minor Bahasa Inggeris dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan program komuniti berimpak tinggi yang diberi nama “Little Readers, Big Dreams!” dan “Jom Read!” bertempat di Surau Taman UUM.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada tugasan kursus SGDBK3143 (Teaching of Reading) dan bertujuan untuk memupuk minat membaca serta meningkatkan keyakinan kanak-kanak dalam penggunaan Bahasa Inggeris secara interaktif dan menyeronokkan.

Lebih 20 kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun telah mengambil bahagian dalam program ini yang dibimbing oleh 10 pelajar UUM yang bertindak sebagai fasilitator.

Antara aktiviti utama sepanjang program termasuk sesi membaca interaktif, permainan bahasa, dan aktiviti bercerita dalam Bahasa Inggeris. Setiap aktiviti dirancang dengan teliti untuk membina keberanian kanak-kanak dalam menyampaikan idea, sekali gus mengukuhkan kemahiran membaca dan komunikasi mereka dalam bahasa antarabangsa tersebut.

Pelajar SoE, Muhammad Aizad Fikri Azman berkata, program ini memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menyelami dunia buku dan bahasa dalam suasana yang santai dan menyeronokkan.

“Kami percaya bahawa pembelajaran tidak seharusnya berlaku di dalam bilik darjah sahaja.

“Melalui pendekatan yang mesra dan berpusatkan pelajar, kanak-kanak lebih mudah untuk mendekati Bahasa Inggeris dan menggunakannya dengan yakin,” katanya.

Program ini turut mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa kanak-kanak yang memberi peluang kepada anak mereka untuk menyertai program ini.

Selain Aizad, pasukan fasilitator turut terdiri daripada Lydia Marygrace Lupang, Nur Farah Farhana Abdullah, Choo Yuan Lynn, Puspitasari Sukma, Muhammad Azrul Najmi Mohd Azhar, Adlina Syafikha Jasni, Kelvin Yong Kai Yik, Nur Syaqeera Mohd Hafiz Tan dan Maryam dengan bimbingan pensyarah kursus, Dr. Faizahani Abd Rahman.

Bagi menghargai penyertaan, e-Sijil turut diberikan kepada semua peserta program.

Kejayaan program “Little Readers, Big Dreams!” dan “Jom Read!” bukan sahaja menjadi bukti komitmen mahasiswa terhadap pendidikan komuniti, malah diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif seumpama ini.

Dengan pendekatan yang kreatif dan inklusif, diharapkan lebih ramai kanak-kanak dapat menikmati manfaat pembelajaran Bahasa Inggeris secara holistik dan menyeronokkan di masa hadapan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button