Education

MATHS FOR ALL jayakan aspirasi STI100³ di SK Kayang, Perlis

Berita dan gambar Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin  Abdul Karim, Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid dan Yuhaniz Ahmad

PERLIS, 6 Julai 2025: Dalam usaha untuk meningkatkan minat mendalam pelajar terhadap Sains, Teknologi, Kejututeraan dan Matematik (STEM), pasukan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) daripada Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim, telah melaksanakan aktiviti Maths For All: One-Day Stem Camp di bawah Program Pelaksanaan Kitaran 1.5 Program STI 1003, yang dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI).

Program Maths For All ini bertujuan untuk menanam dan membantu meningkatkan minat pelajar serta pembudayaan terhadap STEM melalui aktiviti pembelajaran secara bukan formal serta luar bilik darjah.

Mengikut statistik terkini, penyertaan pelajar dalam aliran STEM adalah sebanyak 50.8 peratus pada 2024, kadar ini masih belum mencapai sasaran nasional sebanyak 60 peratus yang telah ditetapkan sejak sekian lama.

Dalam era revolusi industri 4.0 dan 5.0 ini (IR4.0 dan IR5.0), STEM menjadi salah satu kerangka utama bagi kejayaan sesuatu bangsa dan negara. Justeru itu, pasukan penyelidik SQS telah menyahut cabaran ini untuk bersama-sama membantu negara kita untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam aliran STEM.

Bak kata pepatah, melentur buluh biar daripada rebungnya. Bermotivasikan dengan fakta dan aspirasi ini, Program Maths For All ini telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Kayang, Kuala Perlis.

Program ini melibatkan penyertaan seramai 118 murid (Tahun 4 hingga Tahun 6) dengan lima guru dan fasilitator, dan dilaksanakan dalam empat sesi utama yang menarik dan berfokuskan sains dan matematik.

Sesi pertama ialah ceramah jemputan bertajuk Evolution of Mathematics – from IR 1.0 to IR 4.0” disampaikan oleh Dr. Samsul Ariffin. Seterusnya, dalam Aktiviti 1 – Nombor Ajaib, murid didedahkan kepada konsep nombor ganjil, genap dan perdana melalui aktiviti berpasukan yang kreatif dan inovatif. Aktiviti 2 – Jari Jemari Pintar yang dikendalikan oleh Yuhaniz Ahmad pula menggunakan teknik pergerakan jari untuk membantu murid memahami sifir secara visual dan kinestetik. Kaedah ini telah membantu meningkatkan daya visualisasi dalam kalangan pelajar.

Akhir sekali, Aktiviti 3 – Roda Sifir Pintar yang dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid memberi peluang kepada murid melengkapkan ruang sifir secara pantas dan menyeronokkan, sekaligus meningkatkan kemahiran pendaraban mereka, di mana ramai murid menghadapi masalah dalam subjek matematik terutamanya bab pendaraban.

Penutup program menyaksikan sesi refleksi kumpulan, penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik serta simbol pergerakan kreatif sempena sambutan ulang tahun ke-108 SK Kayang.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kayang, Rosmani Man berkata, pelajar harus memilih bidang STEM apabila memasuki tingkatan empat kelak.

Menurutnya, ini bagi membolehkan negara dapat meningkatkan peratusan pelajar dalam aliran STEM.

Pihak sekolah meluahkan rasa syukur yang mendalam terhadap program ini kerana program Maths For All ini sangat bermanfaat untuk pelajar kerana semua pelajar kekal setia dan fokus untuk tempoh sehari.

Program ini bukan sahaja memenuhi matlamat SDG 4: Pendidikan Berkualiti tetapi turut mencerminkan potensi jalinan antara akademia dan sektor pendidikan awal. Beberapa penambahbaikan dicadangkan untuk fasa akan datang termasuk penambahan elemen kecerdasan buatan (AI) serta penglibatan lebih ramai fasilitator bagi meluaskan impak program.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button