Maybank Padawan 3.0 perkasa kepimpinan pelajar melalui SoHK
Gambar Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG)
SINTOK, 8 Julai 2025: Seramai 54 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Maybank Padawan 3.0, program School of Hard Knocks (SoHK) di bawah insiatif Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKPG) dengan kerjasama Maybank.
Analyst, Talent Attraction, Group Talent Attraction & Futurisation, Group Human Capital, Maybank, Dalili Zulaikha Mohd Zahurin berkata, program ini adalah sebahagian daripada usaha membina generasi graduan yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
Menurutnya, program ini dilaksanakan bagi mencungkil potensi kepimpinan pelajar melalui aktiviti dinamik dan interaktif yang menekankan elemen kerjasama, kreativiti dan komunikasi berkesan, selain menjadi platform untuk mendekatkan pelajar dengan dunia korporat serta nilai-nilai teras yang dibawa oleh Maybank sebagai institusi kewangan terulung negara.
Sesi pagi dimulakan dengan sesi pengenalan diri wakil Maybank, diikuti dengan pembentangan korporat yang memperkenalkan sejarah, peranan strategik dan peluang kerjaya di Maybank.
Pelajar didedahkan dengan pelbagai inisiatif Maybank dalam membina tenaga kerja masa depan serta budaya kerja yang mementingkan integriti, keterangkuman dan inovasi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah PPKPG, Dr. Fikriyah Abdullah, dan Penyelaras Program SoHK, Dr. Adilah Azhari, yang menyampaikan pesanan motivasi serta galakan kepada pelajar untuk terus membina nilai kepimpinan dan sahsiah diri.
Pada sesi petang, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mengambil bahagian dalam aktiviti perbincangan serta penciptaan nama dan logo kumpulan. Aktiviti ini diakhiri dengan pembentangan setiap kumpulan, yang mengetengahkan kreativiti, semangat berpasukan dan keberanian berucap di khalayak ramai.
Maybank Padawan 3.0 bukan sahaja mengasah bakat kepimpinan dan komunikasi, malah turut menjadi titik permulaan bagi para peserta untuk terlibat lebih aktif dalam inisiatif sebagai Maybank Ambassador, duta pelajar yang akan meneruskan peranan menyebarkan nilai-nilai positif dan semangat profesionalisme di kampus. – Anis Zulaikha Kamal