Memperkukuh rantaian bekalan kosmetik halal: Ke arah kemandirian industri tempatan
SINTOK, 5 Januari 2024 – Industri kosmetik halal Malaysia sedang mengalami pertumbuhan yang luar biasa, didorong oleh peningkatan permintaan pengguna terhadap produk yang mematuhi prinsip Islam. Saiz pasaran kosmetik halal pada 2022 ialah $3.64 bilion, dan pakar industri meramalkan ia boleh meningkat sehingga lebih $8.5 bilion menjelang 2032 pada CAGR sebanyak 9.11%.
Bagaimanapun, di sebalik angka yang menggalakkan ini, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kosmetik tempatan, terutamanya dalam mendapatkan bahan-bahan yang diperakui halal untuk mengekalkan operasi perniagaan mereka.
Salah satu cabaran terbesar bagi pengeluar kosmetik tempatan ialah beban kewangan untuk mendapatkan bahan mentah yang disahkan halal dalam kuantiti yang kecil. Pembekal proaktif dalam menyediakan sijil halal untuk semua bahan mentah yang diperlukan untuk pembelian pukal, walaupun begitu pengilang kecil bergelut untuk mendapatkan bahan mentah yang sama dalam kuantiti yang lebih kecil. Pengilang kecil dan sederhana menghasilkan kosmetik dalam kelompok kecil tidak mampu membeli bahan mentah dalam kuantiti yang banyak kerana kekangan kewangan.
Selain itu, penyimpanan berlebihan bahan mentah dengan tarikh luput juga melibatkan risiko kerugian yang ketara, melebihi prestasi perniagaan yang dijangkakan oleh perusahaan kecil dan sederhana.
Satu lagi isu yang membebankan pengilang kecil ialah keengganan pembekal untuk membungkus semula bahan mentah pukal kepada kelompok yang lebih kecil, supaya lebih mudah diurus dan pastinya lebih murah. Kebanyakan pembekal melihat proses ini sebagai rumit, mendatangkan pelbagai cabaran teknikal dan memerlukan pengurusan logistik tambahan yang bakal meningkatkan kos kepada para pembekal. Pembekal juga tidak menganggap pembungkusan semula berbaloi kerana operasi mereka juga perlu melalui proses pensijilan halal berasingan dan mereka tidak boleh lagi bergantung kepada sijil halal yang telah diterima daripada pengeluar asal bahan mentah tersebut. Bagi perniagaan kecil dengan keperluan yang lebih kecil, kekurangan pilihan ini menimbulkan halangan yang ketara untuk mendapatkan bahan mentah yang terjamin dan diperakui halal.
Pensijilan halal semasa pembungkusan semula
Walaupun terdapat pembekal yang bersedia untuk membungkus semula, ramai yang tidak mempunyai pensijilan halal yang diperlukan untuk fasiliti dan proses pembungkusan semula tersebut. Disebabkan isu ini, pengilang PKS terpaksa membeli dalam kuantiti yang banyak untuk memastikan setiap bahan mentah yang diperolehi mempunyai sijil halal.
Bagi perniagaan kecil, keperluan untuk membeli dalam kuantiti yang banyak mewujudkan tekanan kewangan dan mengehadkan keupayaan mereka untuk berinovasi dan mengembangkan rangkaian produk sedia ada.
Perubahan strategik untuk mengukuhkan industri kosmetik halal Malaysia.
Industri kosmetik halal Malaysia menunjukkan potensi yang besar, tetapi cabaran operasi yang berterusan dalam rantaian bekalan menghalang pertumbuhan selanjutnya bagi PKS yang terlibat. Pendekatan strategik baharu boleh menyediakan penyelesaian dengan menggalakkan pengeluar tempatan beralih daripada menghasilkan produk kosmetik siap kepada proses pengilangan menghasilkan bahan mentah kosmetik halal. Anjakan itu berpotensi untuk mengubah rantaian bekalan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam kosmetik halal. Dengan beralih kepada pengeluaran bahan mentah, pengeluar tempatan boleh menangani isu ini secara langsung dalam rantaian bekalan bahan mentah kosmetik.
Bahan Halal Mampu Milik: Pengilang tempatan berupaya menawarkan bahan mentah kosmetik yang disahkan halal pada harga dan jumlah yang berpatutan, mengurangkan tekanan kewangan ke atas PKS dan memudahkan untuk mematuhi peraturan penghasilan produk halal.
Proses pembungkusan semula yang diperakui halal: Mewujudkan kemudahan pembungkusan semula yang diperakui halal bagi memastikan pengeluar boleh mendapatkan kuantiti produk yang lebih kecil tanpa menjejaskan pematuhan terhadap pensijilan halal.
Mengurangkan pergantungan import: Pengeluaran domestik bahan mentah untuk industri kosmetik halal akan mengurangkan pergantungan kepada bahan mentah impot yang mahal dan menjamin intergriti bekalan bahan mentah halal. Malah pertumbuhan sub industri ini mampu menggalakkan lagi aktiviti inovasi dan R&D dikalangan pencipta-pencipta tempatan dan menyuburkan penggunaan sumber tempatan sebagai input kepada industri kosmetik Malaysia.
Reka bentuk semula rantaian bekalan industri kosmetik halal
Dengan mengeluarkan bahan mentah mereka sendiri, pengilang tempatan boleh mengawal kos, kualiti dan proses pensijilan, dan seterusnya menghapuskan limitasi rantaian bekalan mereka. Kebangkitan pengeluar bahan mentah kosmetik tempatan akan mewujudkan ekosistem halal yang berkembang maju dan menggalakkan kerjasama dan inovasi merentas industri.
Rantaian bekalan domestik yang memenuhi piawaian halal mampu menjadikan pematuhan dan kebolehkesanan status halal lebih mudah, berintergriti dan lebih stabil . Kekuatan sistem perlaksanaan halal menjamin Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran global untuk pelbagai produk halal termasuk bahan mentah, yang jelas menjadi tarikan pembeli antarabangsa yang mencari pembekal yang boleh dipercayai.
Ketersediaan bahan mentah yang diperakui halal pada harga mampu milik memberi sumber alternatif yang menarik untuk pengilang kecil bagi meningkatkan pengeluaran dan membangunkan produk inovatif. Peralihan pengilang tempatan daripada pengeluar kosmetik kepada pengilang bahan mentah industri kosmetik mampu mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih besar, menggalakkan pelaburan dan mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai peneraju dalam ekonomi halal.
Untuk mencapai visi ini memerlukan kerjasama antara pihak berkepentingan industri, agensi kerajaan dan institusi kewangan. Sokongan kerajaan melalui sokongan teknikal, subsidi dan pelepasan cukai bakal menyokong pertumbuhan kemudahan pengeluaran untuk bahan mentah yang disahkan halal.
Memperkemaskan proses pensijilan halal untuk bahan mentah dan kemudahan pembungkusan semula juga akan memudahkan rantaian bekalan halal untuk mencapai pematuhan pensijilan. Selain itu, dasar yang menggalakkan penggunaan bahan mentah halal keluaran tempatan akan mengukuhkan industri kosmetik lokal sedia ada, sambil mengurangkan pergantungan berterusan kepada bahan import.
Peralihan strategik ini bukan sahaja akan memberi pilihan kepada pengeluar kosmetik Malaysia untuk menyelesaikan isu rantaian bekalan bahan kosmetik halal, tetapi juga akan membolehkan mereka membina industri yang lebih kukuh dan mampan. Langkah berani ini berpotensi meletakkan negara sebagai hab global untuk pengilangan bahan mentah kosmetik yang diperakui halal dan mengukuhkan kedudukan PKS halal tempatan dalam pasaran kosmetik global yang sedang berkembang pesat – Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail.