Menjulang impian, menyelamatkan pembeli: Reformasi undang-undang atasi projek perumahan terbengkalai
Gambar oleh Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 29 Julai 2025: Isu projek perumahan terbengkalai yang sekian lama menghantui pembeli rumah di Malaysia kembali menjadi fokus apabila Profesor Dr. Nuarrual Hilal Md Dahlan, dari Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM), membentangkan Syarahan Pengukuhan Profesor Siri 2/2025 di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen UUM.
Mengangkat tajuk “Rescuing Dreams, Reforming Laws: Ending the Scourge of Abandoned Housing Projects in Malaysia”, beliau menegaskan bahawa isu projek terbengkalai berpunca bukan sahaja daripada kelemahan pelaksanaan, tetapi juga dasar yang longgar serta perundangan yang tidak cukup berkesan melindungi hak pembeli.
Antara cabaran yang dikenal pasti termasuk ketiadaan sistem Bina dan Jual (BTS), tiada obligasi Insurans Pembangunan Perumahan (Housing Development Insurance – HDI), ketiadaan undang-undang khusus bagi mengawal selia pemulihan projek terbengkalai, kelemahan penguatkuasaan, ketidaktelusan pelaksanaan projek, dan kegagalan pemaju menunaikan tanggungjawab.
Profesor Dr. Nuarrual Hilal menegaskan bahawa reformasi menyeluruh diperlukan bagi memperkukuh perlindungan pembeli. Cadangan ini merangkumi penambahbaikan peruntukan undang-undang, penguatkuasaan tegas, peningkatan akauntabiliti pihak berkepentingan serta penerapan prinsip kelestarian. “Penyelesaian memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan penggubal dasar, agensi penguatkuasa, pemaju, institusi kewangan, perbankan Islam, peguam dan pembeli rumah sendiri,” ujar beliau.
Sebagai langkah pencegahan jangka panjang, beliau menyarankan pelaksanaan mandatori model Bina Dahulu, Jual Kemudian (BTS). Sekiranya model Jual Dahulu, Bina Kemudian (STB) masih digunakan, pemaju mesti diwajibkan menyediakan HDI di samping undang-undang khas untuk pemulihan projek terbengkalai demi kepentingan pembeli.
Dalam konteks pembiayaan perumahan Islam, beliau menegaskan agar institusi kewangan Islam memastikan pembiayaan tidak terdedah kepada unsur gharar (ketidaktentuan dan risiko yang membawa kerugian serta ketidakadilan). Produk pembiayaan Islam hendaklah hanya melibatkan projek siap sepenuhnya dengan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan hak milik diperoleh. Selain itu, terma kontrak perlu adil dan seimbang, mengelakkan pelanggan menanggung beban berat sebelah.
“Pembiayaan Islam wajar dilaksanakan hanya bagi unit rumah yang siap atau, jika menggunakan model STB, maka HDI dan undang-undang khas mengawal pemulihan projek terbengkalai mesti diwajibkan,” jelas beliau.
Beliau menutup syarahan dengan seruan tegas: “Sudah tiba masanya kita menyelamatkan impian pembeli rumah dengan membina sistem undang-undang yang kukuh, telus dan berintegriti. Reformasi bukan lagi pilihan, tetapi satu tuntutan mendesak demi keadilan, keyakinan, dan masa depan perumahan negara.”