Education

Minat pelajar SK Felda Rimba Mas terhadap sains melonjak setinggi roket lancaran

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid

PADANG BESAR, 10 Julai 2025: Satu aktiviti pembelajaran berasaskan sains yang cukup menarik telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Rimba Mas melalui program Travelog MaSa (Travelog Matematik dan Sains) di bawah Pelaksanaan Kitaran 1.5 Program STI 1003 tajaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Aktiviti kedua dalam siri ini bertajuk “Pembinaan Roket dan Pelancar”, diketuai oleh Prof. Madya Dr. Sharmila Karim, dengan dua rakannya, Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid dan Yuhaniz Ahmad berserta beberapa fasilitator guru dan dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dr. Sharmila berkata, melalui aktiviti ini, pelajar Tahun 5 dan 6 telah diberi peluang untuk mereka bentuk, membina dan menguji pelancaran roket buatan sendiri menggunakan bahan mesra pengguna dan selamat, selain membina menara pelancar roket, sekali gus menerapkan konsep fizik seperti tekanan, daya dan kestabilan struktur.

“Aktiviti ini bukan sahaja mendedahkan murid kepada prinsip asas sains dan kejuruteraan secara langsung, malah mengasah kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), kreativiti dan kerja berpasukan.

“Berdasarkan refleksi murid, mereka menyatakan bahawa kestabilan dan reka bentuk seimbang merupakan aspek paling penting dalam menghasilkan roket yang berfungsi dengan baik, di samping belajar pentingnya kerjasama kumpulan dalam mencapai kejayaan,” katanya.

Guru Besar SK Felda Rimba Mas, Zalida Ismail, menyatakan kegembiraannya terhadap pelaksanaan program ini.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas inisiatif para penyelidik SQS yang membawa pembelajaran sains keluar dari bilik darjah. Aktiviti seperti ini dapat memberi impak dalam meningkatkan minat pelajar terhadap sains.

“Saya berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dan dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah luar bandar,” katanya.

Kesimpulannya, aktiviti ini membuktikan bahawa pembelajaran sains tidak semestinya terhad kepada teori semata-mata, malah boleh disampaikan secara menyeronokkan, interaktif dan praktikal.

Pendekatan sebegini bukan sahaja meningkatkan pemahaman pelajar terhadap konsep sains, tetapi juga menyemai minat, membina keyakinan serta mengaitkan ilmu dengan situasi dunia sebenar yang memberi impak berpanjangan dalam kehidupan mereka.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button