Mobiliti Outbound UUM tingkat kefahaman global, interaksi budaya dan jalinan akademik
Gambar Nur Badzlina Balqis Azman
MALANG, 3 Jun 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui kerjasama Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Inapan Siswa (Inasis) Sime Darby dan Inasis Luar Kampus telah menganjurkan program Mobiliti Outbound ke jawa Timur pada 3 hingga 10 Mei lalu sebagai sebahagian daripada inisiatif UUM Global Outreach.
Pengetua Inasis Sime Darby, Mohd Yusnaidi Md. Sabri berkata, program ini disertai oleh pelajar dan staf akademik bagi memperkukuh jaringan akademik serta memupuk pemahaman budaya dan pentadbiran rentas sempadan.
Menurutnya, objektif utama program ini adalah untuk memperkukuh hubungan strategik antara UUM dan universiti-universiti di Indonesia selain membuka ruang kepada pelajar untuk membina keyakinan dan kebolehan berinteraksi dalam konteks antarabangsa.
Program selama lapan hari ini dimulakan dengan Majlis Pembukaan di Universitas Brawijaya (UB), yang diserikan dengan ucapan daripada Naib Dekan Hal Ehwal Akademik, Dr. Arik Prasetya; Naib Dekan Pelajar, Alumni, dan Keusahawanan, Dr. Mochammad Rozikin, dan Dekan SOG UUM, Prof. Madya PMgr Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid serta sesi pertukaran cenderamata dan sesi fotografi.
Seterusnya, seminar yang menampilkan pembentangan daripada wakil UUM dan Universitas Brawijaya dengan pengisian seperti perbincangan akademik dan perkongsian mobiliti antarabangsa.
Peserta turut mengikuti lawatan kampus UB dan berinteraksi dengan pelajarnya. Aktiviti menarik seperti bengkel tarian tradisional dan gamelan turut dijalankan. Lawatan ke Universitas Muhammadiyah Malang (UMM) memberi pengalaman baharu, termasuk ucapan inspiratif daripada wakil UMM yang membuka minda peserta terhadap peluang kerjasama dan jaringan akademik antarabangsa.
Selain itu, peserta turut dibawa menyertai lawatan ke Kayutangan Heritage, ladang teh Wonosari, dan kawasan pelancongan bersejarah seperti Gunung Bromo yang terkenal dengan keindahan matahari terbitnya.
Lawatan ini bukan sahaja memperluaskan pengetahuan para peserta tentang warisan dan budaya tempatan, malah memberikan pengalaman bermakna dalam bentuk pembelajaran di luar bilik kuliah.
Dengan pelaksanaan yang teratur dan pengisian yang menyeluruh, program mobiliti ini berjaya memupuk semangat kolaborasi, profesionalisme dan keterbukaan global dalam kalangan peserta, sejajar dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan berdaya saing di peringkat antarabangsa. – Nur Intan Syahirah Nasri