Modul Integrity Edukids rangkul Best of Gold Medal di Edu Innovate 2025
Inovasi pendidikan anti rasuah untuk kanak-kanak prasekolah
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Mohd Azrin Mohd Nasir
TANJUNG MALIM, 3 Jun 2025: Pensyarah yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Mohd Azrin Mohd Nasir daripada Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah memenangi Best of Gold Medal bagi Kategori A: Akademik, Profesional dan Pemain Industri dalam Pertandingan International Education Innovation Competition (Edu Innovate) 2025, baru-baru ini.
Kemenangan ini diraih menerusi projek inovatif bertajuk “Modul Integrity Edukids: Pembelajaran Nilai Anti-Rasuah Untuk Kanak-Kanak Prasekolah”, yang merupakan inisiatif awal pendidikan integriti dan anti rasuah di peringkat kanak-kanak.
Dr. Mohd Azrin berkata, projek ini dibangunkan secara kolaboratif bermula dari Julai 2023 hingga Disember 2024 menerusi sokongan geran penyelidikan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, kemenangan ini bukan sahaja mengharumkan nama UUM, malah membuktikan komitmen pasukan penyelidik dalam memperkasa pendidikan nilai murni dan integriti sejak usia awal, seiring dengan aspirasi negara dalam memupuk generasi masa depan yang berintegriti dan beretika tinggi.
Majlis perasmian pertandingan peringkat antarabangsa ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, yang turut menyampaikan anugerah kemenangan kepada pemenang.
Pertandingan berlangsung selama dua hari, dari 19 hingga 20 Mei 2025, bertempat di Dewan Tunku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Selain Prof. Madya Dr. Mohd Azrin, pasukan penyelidik turut dianggotai oleh Prof. Madya Dr. Norruzeyati Che Mohd Nasir (UUM), Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail (UUM), Prof. Madya Dr. Abd Halim Masnan (UPSI), Prof. Madya Dr. Azizah Zain (UPSI) dan Dr. Hapsah Md Yusof (UPSI).
Edu Inovate 2025 menghimpunkan lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara dengan penyertaan merangkumi empat kategori utama iaitu Kategori A: Akademik, Profesional & Pemain Industri, Kategori B: Pelajar Pascasiswazah Institusi Pengajian Tinggi, Kategori C: Pelajar Siswazah Institusi Pengajian Tinggi dan Kategori D: Guru dan Pelajar Sekolah Rendah & Menengah
Acara turut diserikan dengan pameran oleh lebih 30 agensi dan industri, dan dihadiri oleh tokoh-tokoh terkemuka termasuk Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr. Maisarah Ahmad dan Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus.