Education

Muamalat Synergy MUADS X MSC kukuhkan ukhuwah dan kepimpinan antara kelab

Berita dan gambar Nur Wardah Bohari

NILAI, 4 Julai 2025: Seramai 30 pelajar daripada dua kelab pelajar iaitu Kelab Pentadbiran Muamalat (MUADS) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Muamalat Student Club (MSC) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjayakan program Muamalat Synergy MUADS x MSC yang berlangsung selama dua hari, bermula 14 hingga 15 Jun lalu di kampus USIM, Nilai.

Pengarah Program, Nurul Amyra Shafiqa Muhammad Zamri berkata, program ini merupakan inisiatif kolaboratif antara kelab pelajar dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) UUM dengan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) USIM.

Menurutnya, program ini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi merupakan platform membina kepimpinan, sahsiah dan nilai muamalat dalam kalangan pelajar.

“Objektif utama program ini adalah untuk mengukuhkan hubungan silaturahim, meningkatkan kemahiran insaniah dan membina jaringan kerjasama antara pelajar muamalat dari dua institusi pengajian tinggi.

“Kami percaya, apabila pelajar daripada dua institusi berbeza dapat duduk semeja, beraktiviti bersama dan saling bertukar pandangan, ia akan mewujudkan satu ekosistem pembelajaran yang lebih dinamik dan holistik,” katanya.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan seperti Break the Ice, Make the Bond, Explorace, Mini Interactive Games, I Can See Your Talent (malam kebudayaan) dan aktiviti mendaki. Aktiviti-aktiviti ini dirangka bagi memperkukuh kerjasama berpasukan, mencungkil bakat terpendam serta mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.

Sementara itu, Penasihat Kelab MUADS, Dr. Muhamad Fikri Aziz turut menekankan bahawa program seperti ini dapat mencerminkan usaha aktif pelajar dalam membina jaringan ukhuwah, menyemai nilai kepimpinan dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan generasi muda.

“Ia juga seiring dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berdaya saing, berakhlak dan bersifat kolaboratif dalam komuniti,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button