Education

OYAGSB latih lebih 40 pemimpin pelajar SBJK menerusi Program CSR

Berita dan gambar Rozita Ramli

KUALA LUMPUR, 13 April 2026: Lebih 40 pelajar yang memegang jawatan kepimpinan di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Chow Kit telah menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) “OYAGSB Inspire to Lead 2026”.

Program anjuran Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM), itu bertujuan memperkukuhkan kemahiran kepimpinan serta membina keyakinan diri mereka terdiri daripada pengawas sekolah, pengawas Pusat Sumber, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan ketua kelas bagi sesi 2026.

Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Datuk Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki berkata, program itu memberi penekanan kepada usaha membentuk pelajar sebagai pemimpin muda yang yakin, berintegriti dan bertanggungjawab.

Menurutnya, kepimpinan bukan sekadar jawatan, tetapi menuntut rasa tanggungjawab, kebolehan membuat keputusan dan keupayaan mempengaruhi orang lain ke arah yang positif.

Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai aktiviti interaktif seperti sesi perkongsian kepimpinan, aktiviti suai kenal dan latihan berkumpulan.

Pengisian ini menekankan komunikasi berkesan, kerjasama berpasukan serta disiplin diri, di samping membantu pelajar memahami bagaimana nilai kepimpinan dapat diterapkan dalam kehidupan harian di sekolah.

Pengetua SBJK, Zamzuri Abdullah berkata, program seumpama itu memberi pendedahan bermakna kepada pelajar dalam membentuk sahsiah dan jati diri sebagai pemimpin muda.

“Kerjasama ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada pelajar, malah membantu mereka melihat potensi diri dengan lebih jelas dan yakin untuk memainkan peranan sebagai pemimpin di sekolah,” katanya.

Program berkenaan turut memperlihatkan usaha OYAGSB dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti menerusi pendidikan dan pemerkasaan generasi muda.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button