Pelajar BPLB dalami pemikiran strategik bersama CEO MADACorp
Berita dan gambar dan Haarsini Saravanan
ALOR SETAR, 6 Julai 2025: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Program Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan (BPLB) telah menganjurkan program The CEO Lens untuk siri pertama di Menara Peladang, baru-baru ini.
Tetamu istimewa untuk siri pertama ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif MadaCorp, Abdullah Ismail.
Program ini bertujuan memberi pendedahan mengenai cabaran sebenar yang dihadapi oleh seorang CEO dalam mengurus Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) terutamanya dalam sektor strategik seperti pertanian dan keselamatan makanan negara.
Selain itu, program seperti ini mampu memperkaya pemahaman mahasiswa tentang dunia sebenar pengurusan korporat dan tanggungjawab sosial yang digalas oleh sesebuah organisasi besar.
Dalam sesi dialog itu, Abdullah telah berkongsi pelbagai isu yang dihadapi dalam pengurusan syarikat dan strategi yang digunakan untuk menangani isu-isu berbangkit. Antaranya ialah tekanan terhadap pengeluaran beras tempatan, kekangan tenaga kerja, kesan perubahan iklim dan keperluan inovasi dalam teknologi pertanian moden.
Beliau turut menyentuh tentang pengiktirafan dan sokongan kerajaan terhadap sektor pertanian melalui Bajet 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
Dalam bajet tersebut, sektor makanan dan pertanian telah menerima peruntukan tambahan, termasuk untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), sokongan kepada petani moden, serta insentif kepada syarikat yang memacu transformasi digital dalam bidang pertanian.
“Kita tidak boleh anggap pengeluaran beras sebagai tugas biasa. Ia adalah isu strategik negara. Jika pengeluaran tergendala, rakyat akan merasakan beban dan kesusahannya,” katanya.
Sementara itu, salah seorang pelajar BPLB dari Kohort 10, Ahmad Zikri Ahmad Rostam berkata, program ini membuka mata mereka tentang kepentingan sektor pertanian dan peranan kepimpinan yang dinamik dan pemikiran strategik seorang CEO dalam menangani cabaran industri sebenar.
“Sebagai pelajar BPLB, kami bukan sahaja belajar teori, tetapi perlu faham realiti sebenar bekerjaya sebagai CEO di luar sana. Program ini sangat memberi inspirasi,” katanya.
Program tersebut berakhir dengan sesi bergambar dan majlis penyampaian cenderamata. Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Program BPLB, Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman.