Pelajar SMKPS2 dalami teknologi ChatGPT
POKOK SENA, 14 April 2025: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan satu bengkel bertajuk “Meneroka Kecerdasan Buatan: ChatGPT Sebagai Alat Pembelajaran dan Kreativiti Digital” di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena 2 (SMKPS2), Kedah.
Bengkel ini telah dikendalikan oleh Dr. Ahmad Suki Che Mohamed Arif, pensyarah SOC yang berpengalaman luas dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penggunaannya dalam pendidikan.
Program ini bertujuan untuk memperkenalkan pelajar kepada asas teknologi AI melalui aplikasi ChatGPT, sekali gus membangunkan kecekapan dalam komunikasi, penyelesaian masalah serta penghasilan idea kreatif menggunakan teknologi terkini.
Antara kandungan bengkel merangkumi pengenalan kepada konsep ChatGPT dan AI, teknik penjanaan idea dan kandungan digital, penggunaan AI dalam pembelajaran dan kajian, pemahaman terhadap etika dan batasan penggunaan AI, serta sesi interaktif di mana pelajar berpeluang mencuba sendiri penggunaan ChatGPT dalam tugasan mereka.
Menurut Cikgu Norzila Arif Pazilah, Pendekatan ‘hands-on’ yang digunakan dalam bengkel ini sangat bersesuaian dengan gaya pembelajaran pelajar masa kini. Ia bukan sahaja meningkatkan minat mereka terhadap teknologi, malah turut menyuntik motivasi untuk meneroka potensi AI dalam kehidupan seharian.”
Bengkel ini merupakan sebahagian daripada inisiatif SOC UUM dalam menyokong pembangunan pendidikan digital dan memperkasakan generasi muda selaras dengan aspirasi negara menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 serta memperkukuh daya saing dalam ekonomi digital masa depan. – Prof. Madya Dr. Yuhanis Yusof