Pelajar UUM angkat suara belia Cina Peranakan di Youth SDG Summit 2025
Berita dan gambar Wee Khai Nern
BANDAR UTAMA, 25 Mei 2025: Anak muda berasal dari Kelantan, Wee Khai Nern, 24 , tampil menyuarakan aspirasi belia berkaitan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dalam Persidangan Malaysia Youth SDG Summit 2025/2026 yang berlangsung di One Utama, Bandar Utama, baru-baru ini.
Persidangan yang menghimpunkan lebih 45 peserta dari seluruh negara itu memberi ruang kepada belia untuk menyuarakan pendapat, berkongsi inisiatif komuniti, dan membincangkan cabaran serta hala tuju masa depan dalam mencapai 17 Matlamat Pembangunan Lestari menjelang 2030.
Khai Nern yang juga pelajar tahun akhir dalam bidang Linguistik dan Teknologi Maklumat berkata, penglibatan dalam persidangan tersebut bukan sahaja memperluas jaringan sosial dan profesional, malah mengukuhkan kefahaman terhadap peranan belia dalam pembangunan mampan.
“Sebagai wakil suara anak muda, saya percaya bahawa perubahan bermula daripada kesedaran.
“SDG bukan sekadar wacana antarabangsa, tetapi tanggungjawab kita bersama di peringkat akar umbi,” katanya.
Dalam sesi berkenaan, Khai Nern turut berkongsi projek akhir tahun beliau bertajuk ‘Hok-kam ji: Pangkalan Data Bahasa Peranakan Cina Kelantan’, yang mengetengahkan usaha pendigitalan dan pemeliharaan warisan budaya minoriti sebagai sebahagian daripada SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) dan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti).
Persidangan selama dua hari itu turut menampilkan pelbagai bengkel interaktif, pameran inovasi belia, serta sesi dialog bersama tokoh pembangunan negara, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam pelaksanaan Agenda 2030.
Khai Nern berkata, pengalaman tersebut memberi impak besar terhadap motivasinya untuk terus aktif menyumbang dalam platform advokasi belia.
“Malaysia memerlukan lebih ramai anak muda yang berani bersuara, bertindak, dan membina solusi lestari. Saya ingin menjadi antara pemangkin itu,” katanya.
Malaysia Youth SDG Summit merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan, serta pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia.