Education

Pelajar UUM diberi pendedahan kerjaya melalui EKSPEN USM

Gambar Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG)

PULAU PINANG, 3 Jun 2025: Seramai 30 pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Karnival Keusahawanan dan Kerjaya Pulau Pinang 2025 (3KPP25): Ekspo Kerjaya & Pendidikan (EKSPEN) 2025 yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.

Pegawai Psikologi, Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Nur Farah Johari berkata, program ini merupakan inisiatif berimpak tinggi bagi memperluas pendedahan pelajar kepada peluang kerjaya dan persekitaran industri sebenar.

Menurutnya, penyertaan pelajar ke EKSPEN ini merupakan antara pendekatan strategik UUM dalam memperkasa kebolehpasaran graduan sejajar dengan keperluan industri.

“Kami percaya pendedahan awal kepada persekitaran kerjaya sebenar mampu membina keyakinan, kemahiran komunikasi serta jati diri yang kukuh dalam kalangan pelajar,” katanya.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan lebih 50 agensi kerajaan, syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO), dan institusi pendidikan yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, latihan industri, serta maklumat berkaitan pengajian lanjut. Pelajar turut berpeluang menyertai sesi temuduga terbuka, taklimat industri, serta bengkel pembangunan kerjaya.

Rombongan pelajar UUM terdiri daripada pelbagai program pengajian seperti Pengurusan Perniagaan, Ekonomi, Kewangan, Perakaunan dan lain-lain lagi.

Peserta, Muhammad Akiff Irfan Zulkarnain dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) berkata, EKSPEN ini membuka mata pelajar tentang realiti pasaran kerja semasa.

“Saya dapat bertanya terus kepada wakil syarikat mengenai peluang pekerjaan dan kelayakan yang diperlukan.

“Ia memberi semangat dan keyakinan untuk saya lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan,” katanya.

EKSPEN ini bukan sahaja terbuka kepada pelajar institusi pengajian tinggi, malah turut menerima kehadiran pelajar sekolah menengah, graduan lepasan universiti, dan orang awam yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang laluan kerjaya dan pendidikan.

Dengan sokongan pelbagai pihak, program seperti ini dilihat sebagai platform terbaik dalam merapatkan jurang antara institusi pengajian dan industri, serta membentuk generasi graduan yang lebih kompeten dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Turut serta, pegawai daripada PPKKG, Nurul Hamiza Hamzah. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button