Pelajar UUM sertai Program Antarabangsa “The Summer Space 2025”
Berita dan gambar Ng Kean Swa
SEMARANG (INDONESIA), 25 September 2025: Pelajar Sarjana Muda Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Ng Kean Swa, 23, telah terpilih untuk menyertai program mobiliti antarabangsa bertajuk “The Summer Space” yang berlangsung selama dua minggu di Semarang, Indonesia.
Program ini menghimpunkan seramai 17 peserta antarabangsa yang terpilih bagi mendalami pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) serta menghayati keunikan budaya Indonesia.
Program tersebut dianjurkan bersama oleh dua universiti ternama, Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA) dan Universitas Semarang (USM). Melalui kerjasama strategik ini, peserta diberi pendedahan yang menyeluruh merangkumi aspek akademik, pembangunan komuniti, inovasi tenaga lestari, serta pengayaan budaya.
Di UNISSULA, peserta berpeluang menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat dengan menekankan aspek kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat. Selain itu, seminar dan lawatan pendidikan turut diadakan bagi memberi pemahaman lebih mendalam tentang sistem pendidikan di Indonesia.
Di USM pula, peserta diterapkan dengan ilmu dan pengalaman berkaitan inovasi tenaga lestari serta pembangunan ekonomi. Mereka melawat mercu tanda tempatan dan projek berasaskan tenaga boleh diperbaharui serta perniagaan hijau. Melalui sesi bersama komuniti, peserta turut bekerjasama mencari penyelesaian kreatif bagi isu akses tenaga dan pertumbuhan ekonomi yang dihadapi masyarakat setempat.
Kean Swa berkata, penyertaan dalam program ini telah memberi impak positif dari segi akademik dan peribadi.
“Saya amat berbesar hati kerana dapat mewakili UUM dalam program ini. Ia bukan sahaja memberi pengetahuan mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), malah memperluaskan jaringan antarabangsa dan membuka peluang untuk menyumbang kepada masyarakat melalui ilmu yang dipelajari,” katanya.
Program “The Summer Space” memberi penekanan kepada empat Matlamat Pembangunan Lestari utama iaitu SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 7 (Tenaga Mampu Milik dan Bersih), serta SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi).
Melalui penglibatan ini, peserta diharap dapat berperanan sebagai duta pembangunan mampan di peringkat global.