Pembentang termuda serlah potensi di SICONSEM 2025
Gambar UUM Press
KUALA LUMPUR, 17 September 2025: Dua pelajar Tingkatan 3 dari Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), mencatat sejarah apabila tampil sebagai pembentang termuda di Sintok International Conference on Social Sciences and Management (SICONSEM 2025).
Persidangan dwitahunan anjuran UUM Press itu telah berlangsung di Hotel Silka Maytower selama dua hari pada 10 dan 11 September lalu.
Aqil Luqman Mohamed Khalid berkata, walaupun SICONSEM merupakan pengalaman pertama mereka di pentas persidangan antarabangsa, namun turut membuka ruang keyakinan baharu, selain sangat mencabar.
“Mula-mula agak takut sebab ini kali pertama kami membuat pembentangan di luar sekolah. Tetapi bila sudah mula, saya cuba tetapkan ‘mindset’ untuk lebih bersedia,” kata Aqil Luqman.
Meskipun rasa gementar, kedua-dua mereka bertekad menjadikan peluang ini sebagai langkah awal untuk masa depan.
Muhammad Syazwan Akmal Shahrizul pula menyatakan hasrat agar kertas kerja yang dibentangkan dapat ditambah baik dan seterusnya diterbitkan dalam jurnal akademik.
Program pendidikan unik Kolej PERMATA Insan, yang menekankan gabungan akademik dan penyelidikan sejak peringkat awal, dilihat berkesan melahirkan pelajar berdaya saing. Bermula dari asas 1 (Tingkatan 1) , pelajar diberi bimbingan penyelidikan bersama penyelia bidang masing-masing, dengan kurikulum dipadatkan sehingga mereka mampu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh empat tahun sahaja.
Kehadiran pembentang termuda di SICONSEM 2025 bukan sahaja membuktikan keberkesanan sistem pendidikan tersebut, malah memberi inspirasi kepada generasi pelajar lain untuk lebih berani menonjolkan hasil penyelidikan mereka di peringkat antarabangsa. – Amirul Bahrain Shamsul Bahrain