Education

Pendekatan inovatif dalam pengajaran geometri melalui Misi Berlian

Gambar Prof. Madya Dr. Adyda Ibrahim

SUNGAI PETANI, 21 Julai 2025: Inisiatif pelaksanaan kitaran baru STI1003 2025 program pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) anjuran MOSTI terus melebarkan sayap ke sekolah di bahagian selatan negeri Kedah iaitu Sungai Petani dengan membawa tema “Program STEM Untuk Semua – Bijak, Seronok & Bermakna”.

Program tersebut telah berjaya dianjurkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir dengan pembabitan murid Tahun 5 dan sekolah ini merupakan sekolah yang dipilih oleh pihak MOSTI dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.

Program ini telah dilaksanakan oleh sekumpulan pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi.

Program ini menampilkan aktiviti utama berbentuk permainan interaktif yang dinamakan Misi Berlian, sebuah aktiviti berasaskan topik geometri dalam subjek matematik yang mengadaptasi naratif detektif memburu pencuri berlian.

Direka khusus untuk murid sekolah, permainan ini menggabungkan konsep asas geometri dan penaakulan logik dalam bentuk strategi permainan yang menyeronokkan serta mudah difahami. Melalui pendekatan ini, murid didorong untuk mengaplikasikan kemahiran pemikiran kritis, kebolehan mengira, dan pemahaman tentang bentuk serta ruang dalam suasana pembelajaran yang kolaboratif dan kompetitif.

Dr. Nerda Zura Zaibidi berkata, pendekatan berasaskan permainan seperti Misi Berlian ini mampu menjadikan pembelajaran matematik lebih menarik dan bermakna kepada murid.

“Aktiviti yang menggabungkan elemen keseronokan dan strategi dapat meningkatkan penglibatan murid serta membantu mereka memahami konsep-konsep asas matematik dengan lebih berkesan,” katanya.

Guru Besar SK Sungai Pasir, Fadhli Arfanuddin bersama barisan guru penolong kanan serta seluruh warga pendidik sekolah amat berbesar hati menerima kunjungan penyelidik dari UUM.

Kehadiran mereka disambut dengan penuh penghargaan sebagai satu usaha murni dalam memperkukuh pendidikan STEM di peringkat sekolah rendah. Sokongan padu dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pihak sekolah jelas terbukti melalui penglibatan aktif dalam menjayakan program ini.

Pelaksanaan program ini dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam usaha memperkukuh pendidikan matematik di peringkat sekolah rendah, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan generasi yang celik STEM, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. – Prof. Madya Dr. Rosshairy Abd Rahman

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button