Pengalaman pendaki Annapurna Base Camp meriahkan pentas Republika Merah MAPIM PBAKL
Gambar UUM Press
KUALA LUMPUR, 18 Jun 2025: Pengalaman pengembaraan 20 pendaki dalam meneroka keindahan alam ciptaan Ilahi semasa ekspedisi Annapurna Base Camp (ABC) telah memeriahkan program resensi buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, baru-baru ini.
Kisah pengembaraan yang diabadikan dalam buku berjudul Jejak Petualang: Annapurna Base Camp disampaikan oleh Dr. Mohd. Raime Ramlan (TISSA UUM) di pentas Republika Merah MAPIM pada 27 Mei lalu.
Pengalaman luar biasa mereka bukan sekadar sebuah petualangan, malah merangkumi pengajaran mendalam tentang erti hidup dan persahabatan. Buku ini tidak hanya memaparkan kegigihan fizikal para petualang yang berbeza kemampuan, namun turut menggambarkan kekayaan emosi mereka sepanjang pendakian yang menguja.
Selain memperkenalkan buku Jejak Petualang: Annapurna Base Camp, program resensi buku karya kreatif tersebut juga memperkenalkan karya Nurimas SN melalui buku terbaru Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis Dan Ben Thanh Bermata Juling.
Kumpulan cerpen tersebut mengangkat tema cinta remaja, pendidikan dan kerjaya serta tema kontemporari yang sarat dengan nilai murni, kemanusiaan sejagat dan integriti yang dapat dijadikan pengajaran kepada remaja dan pembaca umum.
Kedua-dua buku ini boleh didapati di UUM Press Bookstore, The Mall UUM. – Nur Syahirah Mohd Fuzi