Education

Pensyarah UUM perkasakan Art Therapy di sekolah melalui Persidangan Antarabangsa Kaunseling di Indonesia

Berita dan gambar Dr. Azizah Abdullah

RIAU (INDONESIA), 18 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi membuktikan kepakarannya di peringkat antarabangsa apabila pensyarahnya, Dr. Azizah Abdullah dari Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), diberi kepercayaan sebagai pengucaptama serta mengendalikan bengkel Art Therapy dalam International Conference on Counselling & Behavioural Science 2025 yang berlangsung di Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim (UIN SUSKA), Pekanbaru, Riau, baru-baru ini.

Persidangan antarabangsa ini dianjurkan bersama oleh Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Ikatan Bimbingan dan Konseling Sekolah Indonesia, Universitas Riau, dan Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim II, Riau, dengan penyertaan lebih 122 guru bimbingan dan kaunseling dari seluruh Malaysia serta guru-guru bimbingan konseling dari Riau dan Jakarta, Indonesia.

Turut hadir termasuk Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Kaunseling & Kerjaya Murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, Saiful Affendi Mohd Zahari; Ketua Asosiasi Bimbingan & Konseling Indonesia, Bahagian Riau, Timbalan Rektor Institut Pelancongan Trisakti, Jakarta, Dr. Mohd Subhan; Dekan Fakulti Tarbiyah dan Keguruan UIN SUSKA, Prof. Dr Amirah Diniaty, serta wakil daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Hari pertama menyaksikan bengkel serentak dikendalikan oleh Dr. Azizah (UUM) di UIN SUSKA dan Dr. Norwati Mansor (UIAM) di Universitas Riau. Hari kedua pula berlangsung majlis perasmian yang gilang-gemilang dengan persembahan kebudayaan Indonesia, dirasmikan oleh Prof. Dr. Amirah Diniaty mewakili Rektor UIN SUSKA.

Seterusnya, sesi ucaptama disampaikan oleh Dr. Salwa Dato’ Seri Setia Mahalle (Universiti Brunei Darussalam), Dr. Azizah dan Prof. Dr Amirah Diniaty (UIN SUSKA).

Sebanyak 15 kertas kerja telah dibentangkan dalam sesi selari, melibatkan 10 pembentang dari Malaysia dan lima dari Indonesia. Persidangan ditutup dengan Majlis Makan Malam di Hotel Pangeran yang turut menyaksikan penyampaian sijil, cenderamata dan anugerah kepada pembentang terbaik dari kedua-dua negara.

Dr. Azizah berkata, persidangan ini telah membuka lembaran baharu dalam memperkasa pengembangan art therapy di sekolah, khususnya sebagai alat teraputik yang berkesan dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di Malaysia dan Indonesia.

YDP MGKK, Khairul Nizar Mohd Zaki, dan Timbalan YDP MGKK, Mokhtar Yusof di mana kedua-duanya merupakan alumni Pusat Pengajian Pendidikan, UUM menyatakan hasrat MGKK untuk memperkukuhkan aplikasi art therapy dalam perkhidmatan kaunseling di sekolah.

Sementara itu, pihak UIN SUSKA turut menyatakan minat untuk mengadakan kerjasama serantau serta memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UUM pada masa akan datang.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button