Penyelidik MIHD-RU tingkat literasi digital pelajar dan guru SK Tok Mat Salleh
Gambar MIHD-RU, SMMTC
YAN, 22 September 2025: Sekumpulan penyelidik dari Unit Penyelidikan Inovasi Multimedia dan Kemanusiaan Digital (MIHD-RU), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program UUM Terjah Yan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Mat Salleh, Ruat, Yan, baru-baru ini.
Program ini merupakan sebahagian daripada agenda University Social Responsibility (USR) UUM yang bertujuan memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti, khususnya dalam meningkatkan literasi digital dalam kalangan pelajar, guru dan waris.
Program yang bertemakan “Komunikasi Celik Digital” menampilkan tiga bengkel utama yang dijalankan secara serentak. Bengkel pertama ialah IVR Exposure Learning yang memberi pendedahan awal kepada murid Tahun 6 mengenai aplikasi Interactive Voice Response (IVR) sebagai salah satu teknologi komunikasi interaktif.
Bengkel kedua ialah CyberSecurity Awareness yang memfokuskan kepada kesedaran keselamatan siber untuk waris dan komuniti dewasa agar mereka lebih berwaspada ketika berinteraksi di alam maya.
Sementara bengkel ketiga iaitu Ruat Snap Challenge: Seamless Music Video telah melibatkan murid Tahun 5 dalam penghasilan video kreatif secara ringkas dan bertanggungjawab.
Ketiga-tiga bengkel ini dikendalikan oleh tenaga pakar akademik UUM dengan kerjasama guru SK Tok Mat Salleh, selain mendapat penglibatan aktif daripada murid serta ibu bapa.
Penyelaras program, Dr. Mohd Nizam Saad berkata, inisiatif sebegini bukan sahaja meningkatkan celik digital dalam kalangan pelajar sekolah rendah, malah memperkasa komuniti setempat dengan kemahiran keselamatan siber dan kreativiti multimedia.
Menurutnya, pendekatan ini membolehkan universiti mendekatkan teknologi kepada komuniti luar bandar serta memupuk literasi digital yang inklusif.
Program ini juga memberi impak positif terhadap pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Antara SDG yang disokong termasuk SDG 4: Kualiti Pendidikan melalui penyediaan akses kepada pendidikan digital yang bermakna, SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur melalui pengenalan inovasi teknologi komunikasi kepada masyarakat luar bandar, serta SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh dengan membina kesedaran terhadap keselamatan siber demi melahirkan komuniti digital yang lebih selamat.
Melalui penganjuran program ini, UUM terus membuktikan komitmennya sebagai universiti penggerak ilmu dan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Pendekatan USR yang berteraskan teknologi dan kemanusiaan digital diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti celik digital yang lebih berdaya saing dalam era transformasi teknologi masa kini. – Prof. Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam