Education

Penyelidik STML bantu Persatuan OKU melalui Projek SDG

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail

PERLIS, 22 Julai 2025: Kumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Dr. Salmah Omar, menerusi Unit Penyelidikan Food Security, Innovation and Development Research (FInDER), giat melaksanakan projek tanaman pokok gac bersama ahli Pertubuhan Orang Kurang Upaya Perlis.

Projek ini merupakan satu usaha pembangunan ekonomi komuniti luar bandar yang mendapat perhatian khusus menerusi  kerjasama universiti, komuniti dan industri.

Dr. Salmah berkata, unit penyelidikan FInDER STML telah lama bergiat aktif dalam membangunkan kapasiti komuniti luar bandar termasuk projek penternakan ayam komuniti luar bandar yang telah dijalankan sejak 2020.

Menurutnya, untuk program kali ini, melalui pembiayaan geran All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG), mereka menyasarkan penglibatan golongan terpinggir seperti OKU dalam pertanian bernilai tinggi seperti tanaman pokok gac yang kaya dengan khasiat kesihatan dan berpotensi besar dalam pasaran hiliran.

“Projek tanaman ini dilaksanakan di kawasan kurang daripada satu ekar dan dijangka mula menuai hasil dalam tempoh tiga bulan, bergantung kepada kadar pertumbuhan pokok.

“Fasa kedua projek ini turut merancang penanaman sehingga 1,000 pokok bagi memenuhi keperluan pasaran terutamanya untuk industri perkilangan yang berasaskan penghasilan produk hiliran seperti jus kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohd. Najib Salleh melihat inisiatif ini sebagai satu model kerjasama rentas sektor yang berjaya, melibatkan penyelidik akademik, komuniti OKU dan pihak industri seperti syarikat RockHerbs.

“Ini satu projek komuniti yang bersifat menyeluruh, bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan taraf hidup OKU, malah memperkukuh hubungan antara universiti dan rakyat melalui pemindahan ilmu,” katanya.

Menurutnya, inisiatif ini selari dengan komitmen STML dalam memacu agenda pembangunan mampan melalui penyelidikan terapan dan kolaborasi antara UUM, komuniti dan industri.

Katanya, usaha seperti ini memperlihatkan peranan penting universiti dalam menjadi ejen perubahan, khususnya dalam memajukan ekonomi golongan sasar seperti OKU, dengan memanfaatkan kepakaran penyelidik dan teknologi tempatan.

Projek ini turut didukung oleh Prof. Madya Dr. Mastora Mustafar, Prof. Madya Dr. Shafini Shafie, Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail dan Dr. Siti Zakiah Abu Bakar sebagai ahli kumpulan daripada FInDER.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button