Education

Penyelidik UUM jalin kerjasama strategik dengan rakan industri dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP)

Berita dan gambar Dr. Khofizhoah Mohd Karim

SINTOK, 27 April 2025: Pasukan penyelidik bagi Geran Inkubator Inovasi bertajuk ‘Validasi Pasaran untuk Pembangunan Interactive Occupational Hazard Self-Evaluation Modul’ (I-OHSEM) telah mengadakan sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) di EDC UUM pada Khamis lalu.

Sesi ini merupakan sebahagian daripada proses validasi pasaran yang menjadi syarat utama sebelum pembangunan prototaip modul I-OHSEM diteruskan di bawah skim geran dalaman tersebut.

RTD ini telah melibatkan penyertaan rakan industri iaitu Pengurus Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran dari B. Braun Medical Industries Sdn. Bhd., Aslan Che Mi; Khairul Anuar Abdul Hamid dari Kaiser Ventures; Pengurus Keselamatan dan Kesihatan dari Bina Darulaman Berhad, Zulhafizi Ahmad, serta Pengurus Eksekutif UUM LEADS Sdn. Bhd., Andy Bachtiar Ibrahim.

Ketua penyelidik, Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, memulakan sesi dengan membentangkan taklimat ringkas mengenai pembangunan produk I-OHSEM kepada ahli panel industri.

Menurutnya, perbincangan RTD ini memberi tumpuan kepada aspek kebolehpasaran, kelebihan, cadangan penambahbaikan berdasarkan keperluan industri serta penetapan harga produk I-OHSEM.

“I-OHSEM merupakan penaiktarafan daripada modul latihan OHSEM tradisional kepada versi interaktif berasaskan e-pembelajaran.

“Produk ini direka untuk membantu pekerja mengenal pasti hazard serta menilai risiko keselamatan secara kendiri di tempat kerja, khususnya dalam sektor pembuatan,” katanya.

Sementara itu, Aslan berkata, produk I-OHSEM ini sangat bersesuaian dengan keperluan semasa kerana ia bersifat interaktif dan mampu menjimatkan masa serta operasi di kilang.

Menurutnya, pihaknya minat untuk menggunakan produk ini di B. Braun serta menyarankan agar pembangunan I-OHSEM dilaksanakan secepat mungkin.

Khairul Anuar pula berpandangan bahawa produk I-OHSEM berpotensi untuk dipasarkan bukan sahaja kepada kilang-kilang multinasional, malah juga kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), agensi swasta serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Sektor-sektor ini sangat memerlukan modul latihan KKP yang mudah, interaktif dan boleh diakses secara dalam talian bagi menjimatkan masa dan kos berbanding pendekatan tradisional,” katanya.

Buat masa ini, produk I-OHSEM masih dalam bentuk modul latihan konvensional. Oleh itu, penaiktarafan kepada versi interaktif amat penting bagi meningkatkan potensi pengkomersialan, seterusnya menyokong usaha penubuhan syarikat terbitan universiti oleh pasukan penyelidik.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah ahli-ahli penyelidik iaitu Dr. Mohd Salahudin Shamsudin dan Dr. Siti Hawa Harith dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan serta Dr. Khofizhoah Mohd Karim dari Pusat Pengajian Kerajaan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button