Penyelidik UUM rangkul Anugerah Platinum untuk Kit H2GROW
Berita dan gambar Dr. Nazmin Abdullah
KUCHING, 28 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi mencipta sejarah apabila produk Kit H2GROW: Integrasi STEM dan TVET untuk Murid Inklusif telah dinobatkan dengan pengiktirafan tertinggi, Anugerah Platinum dalam Innovation for Disability Inclusive Education Competition 2025 (IDIEC) di UCSI Hotel, Kuching, Sarawak.
UUM diwakili pensyarah kanan dari Pusat Pengajian Pendidikan, Dr. Nazmin Abdullah yang mengetuai satu pasukan mantap merentasi pelbagai agensi terdiri daripada UUM, Institut Pendidikan Guru Malaysia, NGO OKU Perlis Special Teens Centre (PeSTeC), dan sekolah telah mengungguli kategori A: Institusi Pendidikan Tinggi, Politeknik dan Kolej Komuniti berjaya menewaskan 25 pasukan lain untuk berjaya mara ke peringkat akhir.
Mereka berjaya membawa pulang hadiah kemenangan termasuk trofi berprestij, sijil anugerah, dan geran pembangunan prototaip bernilai RM10,000 tajaan Centre for Inclusive Research on Community and Disabilities (CIRCLE), UPSI.
Apa itu Kit H2GROW?
Dr. Nazmin berkata, inovasi ini menawarkan solusi pendidikan dan latihan kemahiran penanaman sayur menggunakan kaedah hidroponik, direka khas untuk murid berkeperluan khas.
Menurutnya, kit ini dilengkapi dengan modul pembelajaran pelbagai aras, panduan guru yang komprehensif, video tutorial, kad Augmented Reality (AR), permainan atas talian dan kuiz luar talian.
“Selain itu, turut terdapat cerita interaktif digital Kembara H2GROW dan sistem IoT pintar yang mengandungi Buzzer untuk murid ketidakupayaan penglihatan serta LED indikator untuk murid ketidakupayaan pendengaran.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada warga UUM untuk terus memacu inovasi yang inklusif dan lestari demi kesejahteraan komuniti,” katanya.
Untuk rekod, Kit H2GROW mula dipertandingkan pada tahun 2024 dalam i-MInD Innovation Competition 2024 anjuran Institut Pendidikan Guru Malaysia dan berjaya merangkul Gold Medal Award.