Peranan zakat dan wakaf bantu perkasa kebajikan pelajar UUM
Gambar oleh Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 18 Ogos 2025 – Pelaksanaan program berkaitan zakat dan wakaf bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat secara umum, malah turut membantu meringankan beban pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), khususnya dalam aspek kebajikan, kesihatan dan pembiayaan pengajian.
Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali, dalam ucapan aluannya berkata, sebanyak 70 peratus pelajar UUM terdiri daripada kumpulan B40, manakala pelajar golongan asnaf fakir dan miskin dianggarkan seramai 3,500 orang yang amat memerlukan sokongan berterusan.
“Justeru, zakat dan wakaf UUM memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian tanpa terbeban dengan masalah kewangan,” ujarnya.
Bendahari UUM, Tuan Haji Abdul Roni Baharom, ketika menyampaikan ucapan perasmian pula menegaskan bahawa zakat dan wakaf mempunyai fungsi tersendiri, namun kedua-duanya tetap memberi sumbangan besar kepada kehidupan seharian.
“Manfaat zakat yang dikembalikan kepada asnaf dan masyarakat, secara tidak langsung juga dapat disalurkan kepada pelajar melalui pelbagai bentuk bantuan, termasuk kesihatan dan sokongan kewangan,” katanya.
Tambahnya, wakaf meliputi pelbagai aspek yang lebih luas, sama ada pembangunan kemudahan, pembiayaan program mahupun penyediaan prasarana yang memberi keselesaan kepada warga kampus.
“Wakaf bukan hanya berbentuk material semata-mata, tetapi apa sahaja sumbangan yang dilaksanakan dengan ikhlas demi manfaat masyarakat. Di UUM, sumbangan wakaf amat penting untuk menambah baik kemudahan serta mempercepatkan proses penyediaan prasarana bagi kegunaan pelajar,” jelasnya.
Sesi ini turut diserikan dengan tiga slot taklimat utama iaitu “Rahsia Jimat Cukai” yang disampaikan oleh Nizam Musa daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), diikuti slot “Model Zakat: Tadbir Urus Terbaik Institusi Kewangan Islam Antarabangsa” oleh Mohd Zaidin Azizan, Pegawai Zakat Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), serta slot ketiga “Wakaf: Investasi Dunia, Pahala Akhirat” yang dibentangkan oleh Sheikh Ammar Mohd Suhaimi, Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).
UUM dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atas kerjasama strategik dalam menjayakan sesi libat urus ini. Kerjasama erat ini diyakini dapat memperkukuh ekosistem zakat dan wakaf sekali gus memberi manfaat lebih besar kepada pelajar dan masyarakat.