Education

Perunding UUM jayakan Program Sijil Kompetensi Pengurusan Kewangan Islam Institusi Masjid Negeri Kedah 

Gambar SLCP

ALOR SETAR, 27 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui kumpulan perundingnya dengan kerjasama Bank Rakyat dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) telah menganjurkan Program Sijil Kompetensi Pengurusan Kewangan Institusi Masjid Negeri Kedah pada Isnin lalu di Hotel Raia & Convention Centre.

Program ini telah berjaya menarik peserta dalam kalangan pengerusi, timbalan pengerusi dan bendahari dari 171 masjid seluruh Negeri Kedah.

Program ini diketuai oleh Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie, selaku Ketua Projek bersama pasukan perundingnya, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali, Ahmad Zamil Abd Khalid dan Syahrina Abdullah.

Dr. Mohamad Khadafi berkata, ia bertujuan memperkasa amalan tadbir urus dan pengurusan kewangan institusi masjid di peringkat daerah dan kariah negeri Kedah.

Program ini mendapat pembiayaan penuh oleh Bank Rakyat anggaran jumlah RM42,000 yang menampilkan pengisian berbentuk pengetahuan asas kewangan Islam, kaedah perakauan dan kewangan serta sistem perekodan menggunakan aplikasi teknologi.

Ucapan aluan telah disempurnakan oleh Pengurus Perhubungan Deposit Wilayah Kdeah/Perlis/Pulau Pinang, Zullkeffle Zainun, diikuti taklimat oleh Wan Mohd Shahrizan Mohamed Yatim berkaitan Pengurusan Patuh Syariah yang ditawarkan oleh Bank Rakyat.

Turut memberikan sokongan ialah pihak pengurusan tertinggi JHEAIK yang diketuai oleh Pengarah JHEAIK, Dato’ Dr.  Abd. Ghani @ Zulkifli Zainuddin, dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Syeikh Zainul Jamal Abdul Ghani.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Wilayah Utara Bank Rakyat, Syed Nasser Hussain Syed Othman Ali, bersama Ketua Wilayah Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Shamsul Ilyas.

Kemuncak program menyaksikan penyerahan bantuan kewangan untuk aktiviti pengimarahan masjid oleh Bank Rakyat berjumlah RM 342,000 kepada 171 masjid sebagai usaha menyokong program pengimarahan dan aktiviti komuniti masjid di seluruh negeri Kedah. Serahan simbolik bantuan ini disempurnakan oleh Syed Nasser Hussain Syed Othman Ali.

Sebagai kesinambungan, setiap masjid akan berpeluang mengikuti sesi mentoring dan coaching bersama pakar perunding UUM, pihak JHEAIK dan Bank Rakyat bagi memperkukuhkan lagi amalan pengurusan kewangan yang efektif dan pembangunan institusi masjid di negeri Kedah. – Siti Nadia Rusli

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button