Education

POTENSI2025 bantu pelajar Kampung Angkat Madani hadapi peperiksaan percubaan SPM Bahasa Melayu 

Gambar Nor Hasimah Ismail

KUALA KEDAH, 29 Julai 2025: Program POTENSI 2025 anjuran Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh komitmen dalam mendukung pendidikan komuniti luar bandar melalui pelaksanaan Modul Bahasa Melayu, sebagai usaha menyeluruh mempersiapkan calon menghadapi cabaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Seramai 85 pelajar Tingkatan 5 dari Kampung Tengah, Kuala Kedah telah menyertai sesi intensif ini di bawah inisiatif Kampung Angkat Madani UUM.

Program ini menjadi lebih bermakna dengan ucapan motivasi daripada dua tokoh akademik pendidikan, iaitu Prof. Madya Dr. Mardzelah Makhsin dan Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail, yang menyampaikan mesej penuh dorongan kepada pelajar untuk terus berusaha secara konsisten, yakin dengan kebolehan diri dan sentiasa berdoa serta berdisiplin.

Dr. Mardzelah berkata, POTENSI bukan sekadar program tuisyen biasa, namun ia merupakan satu bentuk orientasi akademik bersepadu yang menyuntik keyakinan diri, membina semangat juang dan memperkenalkan strategi pembelajaran yang berkesan kepada pelajar luar bandar.

“Pendekatan kreatif dan didik hibur memberi peluang kepada pelajar untuk menikmati pembelajaran tanpa tekanan, namun tetap fokus kepada kecemerlangan.

“Setiap mereka memiliki potensi untuk berjaya, dan dengan bimbingan serta dorongan yang betul, mereka mampu skor A+ dalam SPM, khususnya dalam Bahasa Melayu,” katanya.

Program ini dirangka berteraskan nilai empati, nasihat dan inspirasi, dengan objektif untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar, serta menyuntik semangat dan keyakinan diri ketika berhadapan dengan tekanan peperiksaan, kekangan sumber dan ketidakyakinan kendiri.

Modul tuisyen Bahasa Melayu POTENSI merangkumi semua komponen utama peperiksaan, termasuk kefahaman, penulisan, tatabahasa dan rumusan.

Fokus awal diberikan kepada Bahagian C: Penulisan Rumusan kerana bahagian ini strategik untuk membantu murid memperoleh markah asas yang penting dan membina momentum positif semasa menjawab.

Pendekatan pengajaran menggunakan elemen kreatif dan didik hibur, menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, interaktif dan mudah difahami, sambil mengekalkan ketelitian terhadap format dan teknik menjawab peperiksaan sebenar.

Sementara Dr. Nor Hasimah turut menekankan kepentingan kesediaan mental dan fizikal menjelang peperiksaan.

Menurutnya, SPM adalah medan penting yang menuntut persiapan menyeluruh. Gunakan masa yang ada dengan bijak dengan tidur awal, jaga fokus dan kekalkan ketenangan emosi.

Katanya, dengan disiplin, semangat dan sokongan semua pihak, dia yakin pelajar mampu mencipta keputusan yang membanggakan.

Sesi pengajaran turut dibantu oleh tiga guru berdedikasi, iaitu Cikgu Saniy, Cikgu Hawa dan Cikgu Zulaikha, alumni Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE), SoE, UUM, yang memainkan peranan penting dalam memastikan pengajaran berlangsung secara aktif, mesra murid dan membina semangat.

Pihak sekolah menyambut baik pelaksanaan modul ini yang bukan sahaja menguatkan penguasaan teknik menjawab, malah membantu pelajar menangani tekanan peperiksaan melalui pendekatan yang menyentuh emosi, memberi nasihat dan menyuntik inspirasi.

Program ini akan diteruskan secara berfasa hingga meliputi keseluruhan kandungan Bahasa Melayu, sebagai usaha menyeluruh menghadapi SPM dengan lebih yakin, tersusun dan berkesan, serta mendorong peningkatan prestasi akademik dan keputusan keseluruhan SPM dalam kalangan pelajar luar bandar. – Prof. Madya Dr. Mardzelah Makhsin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button