Education

Program Bijak Sifir perkasa pendidikan STEM di SK Dulang

Gambar SQS

YAN, 7 Mei 2025: Program berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) telah dianjurkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Dulang, baru-baru ini.

Program yang dinamakan STI 100³ Saintis Kitaran 1.5 ini merupakan inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertujuan memperkasa pendidikan STEM dalam kalangan murid sekolah menerusi pendekatan pembelajaran yang interaktif, menyeronokkan dan mudah difahami.

Pelaksanaan program ini digerakkan oleh empat pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Dr. Ayu Abdul Rahman.

Dr. Ayu berkata, penglibatan tenaga akademik dari UUM ini memberi dimensi baharu dalam usaha memperkenalkan pendidikan STEM secara kreatif, khususnya kepada murid-murid di kawasan luar bandar.

Program dimulakan dengan ucapan Guru Besar SK Dulang,  Wan Rozita Wan Osman, seterusnya dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat.

Dr. Ayu berkata, tumpuan utama program ini adalah aktiviti ‘Bijak Sifir’, di mana seramai 52 murid Tahun 6 dan Tahun 5 telah diperkenalkan dengan kaedah pengiraan sifir menggunakan jari.

Menurutnya, kaedah ini bertujuan membantu murid memahami dan mengingati sifir dengan lebih mudah melalui pendekatan visual dan praktikal.

“Kaedah ini bertepatan dengan gaya pembelajaran kinestetik yang sesuai untuk kanak-kanak yang gemar belajar melalui aktiviti fizikal dan penerokaan.

“Bagi menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik dan berkesan, aktiviti turut diselitkan dengan permainan interaktif berasaskan konsep dam ular yang telah diubah suai sebagai alat bantu pembelajaran. Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan penglibatan aktif murid, malah berjaya menarik minat mereka terhadap subjek matematik dan bidang STEM secara menyeluruh,” katanya.

Secara keseluruhannya, program ini dilihat sebagai satu langkah positif dalam usaha memperkukuh asas pendidikan STEM di peringkat sekolah rendah. Diharapkan program seumpama ini dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah, terutamanya di kawasan luar bandar, demi melahirkan generasi muda yang celik sains dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Turut hadir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pembangunan Bakat Murid, PPD Yan, Mohd Hasni Suhimi, dan Penolong PPD Pendidikan Swasta, PPD Yan yang juga merupakan Rakan Sekolah SK Dulang, Khairol Aswadi Omar. – Norhafiza Mohd Noor

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button