Program Jalinan Akuaponik nilai keberkesanan program setelah 11 bulan
Gambar Suryadi Marzuki
MALAU, 12 November 2024: Program Jalinan Akuaponik: Mengolah Air Melestari Komuniti yang dianjurkan oleh Unit Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa Tamadun Dan Falsafah (SLCP) telah mencapai fasa akhir selepas berlangsung selama 11 bulan.
Sebagai penutup, satu lawatan pemantauan terakhir telah diadakan di Maahad Tahfiz Ehsan Al-Khairi, baru-baru ini.
Ketua Unit Bahasa Antarabangsa, Nasrol Hadi Ahmad Shukri berkata, lawatan ini bertujuan untuk menilai keberkesanan program dan melihat hasil penternakan ikan serta sayuran yang diusahakan oleh pelajar dan guru Maahad Tahfiz Ehsan Al-Khairi.
Menurutnya, pemantauan akhir yang dijalankan melibatkan penilaian menyeluruh terhadap keberkesanan program serta dokumentasi hasil yang telah dicapai.
Pengurus Maahad Tahfiz Ehsan Al-Khairi, Mazlan Zain menyatakan bahawa meskipun program akuaponik ini adalah projek pengenalan kepada mereka, namun ia berjaya menghasilkan makanan secara lestari dan juga meningkatkan kesedaran pihak maahad tentang kepentingan kelestarian alam sekitar.
Unit Bahasa Antarabangsa sebagai penganjur menyarankan agar pihak Maahad Tahfiz Ehsan Al-Khairi meneruskan projek akuaponik ini dan juga mencadangkan agar pakar dalam bidang akuaponik dijemput untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bagi memperkaya pengetahuan pelajar dan guru di Maahad Tahfiz.
Ini bertujuan untuk memastikan projek ini dapat terus berkembang dan memberikan manfaat yang berpanjangan kepada komuniti setempat.
Lawatan pemantauan ini berakhir dengan penyampaian peralatan lebihan projek akuaponik dan sumbangan tunai orang ramai bagi mendapatkan anak benih ikan yang baharu. – Zeety Kartini Abdul Hamid