Program Latihan Retort perkasakan kemahiran usahawan makanan Padang Terap
Berita dan gambar Umme Umaimah Amin
KUALA NERANG, 18 Jun 2025: Seramai 16 peserta terdiri daripada komuniti dan usahawan makanan sekitar daerah Padang Terap telah menyertai Program Latihan Retort yang berlangsung di Pusat Retort Sejati Madani, Kampung Kubang Palas.
Program ini merupakan kerjasama strategik antara Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) bersama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Pengarah Program, Umme Umaimah Amin berkata, latihan ini bertujuan memperkasakan komuniti luar bandar melalui pemindahan ilmu dan teknologi pemprosesan makanan.
Menurutnya, ianya memberi pendedahan dan latihan praktikal kepada peserta agar peserta mampu menghasilkan produk yang lebih berkualiti, tahan lama dan berdaya saing di pasaran.
Program latihan sehari ini merangkumi modul berkaitan teknologi dan pengendalian mesin retort yang dikendalikan Syed Hairil Rushdi Syed Hashim dan Mohd Nur Azmi Abdul Sukur dari Pusat Servis Retort Utagha.
Selain itu, peserta turut menerima latihan asas pemasaran disampaikan oleh Dr. Rosfaraliza Azura Ramli dari Pusat Pengajian Kerajaan, UUM, merangkumi strategi pemasaran, pelabelan dan saluran pengedaran.
Peserta, Amilia Othman yang merupakan seorang usahawan bakeri, menyifatkan program ini sangat bermanfaat kepada usahawan kecil sepertinya.
“Saya belajar banyak perkara baharu, terutama mengenai kelebihan teknologi retort dan pemasaran produk.
“Pengalaman menjalankan sendiri pemprosesan makanan menggunakan teknologi retort telah meningkatkan keyakinan saya untuk menghasilkan produk yang tahan lama, selamat dan berpotensi dipasarkan secara lebih meluas,” katanya.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan KEDA Zon 2 Padang Terap, Shahurin Md Isa di mana dalam ucapannya menegaskan bahawa inisiatif seperti ini penting dalam memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran teknikal komuniti luar bandar agar mampu bersaing dalam industri makanan yang kian mencabar.
Beliau turut menzahirkan harapan agar lebih ramai usahawan tempatan memanfaatkan teknologi retort sebagai nilai tambah dalam meningkatkan mutu dan jangka hayat produk makanan.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan dalam memajukan keusahawanan makanan melalui kerjasama komuniti, akademik dan agensi kerajaan.