Program Riang Raya STEM serlah kreativiti dan semangat raya di SK Hosba
Gambar JK Jaringan Industri dan Komuniti, SQS
HOSBA, 20 April 2025: Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba diserikan dengan suasana yang penuh keceriaan dan semangat kebersamaan menerusi penganjuran ‘Program Riang Raya STEM’ yang telah berlangsung dengan jayanya.
Bertemakan hari raya, program ini berjaya menggabungkan elemen pendidikan dan budaya dalam satu pendekatan yang menyeronokkan, sekali gus menarik minat pelajar untuk menyelami dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Program anjuran Jawatankuasa Jaringan Industri dan Komuniti, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu melibatkan seramai 76 pelajar Tahun 6 dari SK Hosba sebagai peserta utama.
Ia merupakan yang juga merupakan rakan strategik dalam usaha memupuk kecintaan terhadap STEM dalam kalangan pelajar sekolah rendah. Selain dibantu oleh pensyarah SQS sebagai urusetia, program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pelajar antarabangsa dari ENSSEA Algeria dan University of Santo Tomas (UST) Filipina sebagai fasilitator.
Pengarah program, Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad berkata, Program Riang Raya STEM diadakan bagi mendekatkan subjek-subjek STEM kepada pelajar melalui aktiviti yang bersifat santai, kreatif dan interaktif.
Menurutnya, pendedahan awal seperti ini penting dalam membentuk minda pelajar yang bersedia menghadapi cabaran masa depan yang semakin berteraskan sains dan teknologi.
“Melalui tema raya yang mesra dan dekat dengan hati pelajar, kami cuba menjadikan STEM sesuatu yang tidak menakutkan, malah menyeronokkan. Ini juga satu pendekatan untuk menanam minat terhadap bidang STEM sejak peringkat awal,” katanya.
Program ini menampilkan tiga aktiviti utama yang direka khusus untuk menggabungkan konsep asas STEM dengan elemen kebudayaan:
- Nombor Perdana Raya
Aktiviti ini merupakan kuiz matematik berasaskan nombor perdana, diolah dengan tema Hari Raya untuk menjadikannya lebih menarik. Ia membantu pelajar memahami konsep nombor perdana dengan cara yang lebih santai dan menyeronokkan. - Menara Raya
Dalam aktiviti ini, pelajar diminta membina menara menggunakan sampul raya. Aspek kejuruteraan, kreativiti dan kerjasama berpasukan diuji dalam usaha membina struktur tertinggi dan paling stabil – semua ini berlatarkan suasana Hari Raya. - Cerita Raya
Aktiviti ini mengetengahkan kemahiran komunikasi dan pengucapan awam apabila pelajar diminta untuk berkongsi cerita raya. Ia menggalakkan pelajar untuk berani tampil ke hadapan serta mengekspresikan diri mereka.
Majlis turut dihadiri oleh Guru Besar SK Hosba, Nurun Ihsan Hasbullah; Penolong Kanan I, guru sekolah, Yang Dipertua PIBG, Mohd Syafiq Johari serta wakil daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu, Surayanti Salleh.
Sementara itu, Guru Besar SK Hosba mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak penganjur serta rakan kerjasama TNB atas inisiatif murni ini.
Beliau berharap program seperti ini dapat dijadikan acara tahunan yang bukan sahaja memberi impak kepada pembelajaran pelajar, tetapi juga memperkukuh hubungan antara sekolah dan komuniti luar.
Pelajar SK Hosba juga berusaha untuk berkomunikasi dengan pelajar antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.
Program Riang Raya STEM sekali lagi membuktikan bahawa pembelajaran tidak semestinya berlaku dalam bilik darjah sahaja. Dengan gabungan kreativiti, tema budaya dan pendekatan pedagogi yang berkesan, STEM dapat diajarkan dalam suasana yang menyeronokkan dan membekas dalam ingatan pelajar. – Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad