Education

Program Santun Mesra Kasih IPDM semarakkan ukhuwah di Rumah Sejahtera Baitul Hannan

Gambar Hasnah Mohamad Hanapiah

BOHOR MALI, 27 Julai 2025: Suasana penuh kemesraan dan kasih sayang terpancar di wajah penghuni Rumah Sejahtera Baitul Hannan apabila program Santun Mesra Kasih telah dianjurkan oleh Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) dengan pelbagai aktiviti yang menyentuh hati dan menyemai nilai murni dalam komuniti.

Pengarah Projek, Rosilah Ishak berkata, program ini dimulakan dengan aktiviti tradisi yang kian jarang dilakukan, iaitu mengacau bubur Asyura secara bergotong-royong.

Menurutnya, penglibatan sukarelawan bersama warga emas menjadikan suasana lebih meriah dan penuh keceriaan, diselang-seli dengan senda gurau serta gelak tawa yang mengeratkan hubungan antara generasi.

Sesi diselang-selikan dengan sembang santai dan bacaan surah Al-Quran bersama dengan Qari Jemputan Khas merangkap Penolong Pengarah IPDM, Mohammad Taufiq Othman.

Mohammad Taufiq berkata, peserta mengambil peluang untuk berkongsi cerita dan pengalaman hidup sambil menghayati mesej spiritual melalui bacaan ayat-ayat suci.

“Situasi ini bukan sahaja memberi ketenangan jiwa, malah menyuntik rasa syukur dan keinsafan dalam kalangan yang hadir,” katanya.

Program diserikan lagi dengan jamuan makan tengahari yang menyajikan pelbagai juadah tradisional dan hasil bubur Asyura yang dimasak bersama. Kemeriahan suasana makan bersama jelas menunjukkan keakraban yang terjalin antara penghuni dan tetamu.

Timbalan Pengarah IPDM, Prof. Madya Dr Azlina Kamaruddin berkata, sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang, setiap penghuni turut menerima cenderahati berupa set baju kurung Kedah dan kain batik, yang disampaikan dengan penuh mesra dan kasih sayang.

Menurutnya, sumbangan ini bukan sahaja menggembirakan hati warga emas, malah memberi mereka semangat dan rasa dihargai.

Katanya, Program Santun Mesra Kasih ini berjaya mencapai matlamatnya untuk memupuk nilai ihsan, menyemai kasih sayang, serta menghargai jasa dan pengorbanan warga emas yang sering dilupakan.

Diharapkan agar program sebegini dapat diteruskan sebagai wadah mengeratkan silaturrahmi dan membina masyarakat penyayang. – Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button