Program STI 100 dan STEM In Seconds suntik semangat di SK Simpang Tiga Padang Hang
Berita dan gambar Dr. Baharudin Osman
ALOR SETAR, 8 Julai 2025: Dua penceramah dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyampaikan sesi interaktif dan menyeronokkan bagi memperkenalkan dunia STEM kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Tiga Padang Hang
Program STI 100 & STEM in Seconds ini merupakan inisiatif memperkasakan penguasaan murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang menampilkan Dr. Baharudin Osman dan Ahmad Hanis Mohd Shabli.
Pengerusi Program, Mohd Hakim Abd Khodi yang juga wakil guru besar berkata, penganjuran program ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada murid tentang dunia STEM, sekali gus menyemai minat mereka terhadap bidang-bidang kritikal tersebut.
“Penguasaan asas STEM amat penting bagi memastikan murid mampu bersaing dan kekal relevan dalam masa depan yang dipacu oleh kemajuan teknologi.
“Antara pengisian utama ialah demonstrasi robotik secara langsung, yang berjaya mencetuskan keterujaan dalam kalangan murid terhadap aplikasi teknologi moden serta memberikan gambaran praktikal tentang bagaimana STEM diaplikasikan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Sesi turut diserikan dengan kuiz berkaitan Internet of Things (IoT) untuk menguji pemahaman serta merangsang minat murid terhadap konsep teknologi pintar yang semakin penting dalam era digital kini.
Program ini menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan semua murid memberikan perhatian penuh serta menunjukkan minat yang mendalam sepanjang sesi berlangsung.
Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam membudayakan STEM di peringkat sekolah rendah, selaras dengan aspirasi negara menuju ke arah pembangunan berasaskan inovasi dan teknologi.