Projek SIGS perkasa komuniti pendidikan khas melalui pementoran berstruktur
Berita dan gambar Dr. Nur Fariha Mohd Noor
ALOR SETAR, 7 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alor Setar (SKPKAS) telah melaksanakan Program Pementoran Prihatin bertemakan “Memperkasa Pendidik dan Penjaga Murid Berkeperluan Pendidikan Khas”, sebagai sebahagian daripada projek komuniti berimpak tinggi di bawah Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS), UUM.
Projek yang diterajui oleh Dr. Nur Fariha Mohd Noor bersama rakan penyelidik, Prof. Madya Dr. Rozita Arshad, Dr. Siti Noor Shamilah Misnan, Dr. Muhammad Hafiz Abd Razak dan Dr. Nor Ashikin Md Nasir telah mendapat kerjasama institusi rakan pintar terlibat, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Rumah Amal Kulim dan ILC PERMAI UUM (Pusat OKU Zon Utara).
Projek yang dibiayai oleh Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), UUM ini digerakkan dengan matlamat memperkukuh sistem sokongan terhadap Guru Pendidikan Khas (GPK), Pembantu Pengurusan Murid (PPM) dan ibu bapa murid berkeperluan pendidikan khas melalui pendekatan pementoran berstruktur dan berfasa.
Dr. Nur Fariha berkata, pendidik dan penjaga anak-anak istimewa sering berhadapan cabaran berat dari segi emosi, fizikal dan sosial tanpa jaringan sokongan yang mencukupi.
Menurutnya, menyedari realiti ini, projek SIGS tampil dengan pendekatan inovatif iaitu membina hubungan pementoran antara pendidik dan penjaga ini dengan individu-individu berpengalaman dalam dunia pendidikan khas.
Antara mentor-mentor yang terlibat termasuklah Dr. Ab. Halim Sulong dan Dr. Kama Shaffeei (UPSI), Amran Abidin (mantan Penolong Pengarah Pendidikan Khas JPN Kedah), Meor Muhammad Afif Aiman Abu Bakar (Pengarah ILC PERMAI UUM), serta Zarina Md. Noor (Pengetua Rumah Amal Kulim), manakala menti pula terdiri dari kalangan guru, pembantu pengurusan murid dan ibu bapa murid-murid SKPKAS.
Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Penolong Kanan Pentadbiran SKPKAS, Ismail Dahaman, dan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah CUIC, Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin yang menyatakan bahawa inisiatif ini mencerminkan hasrat UUM untuk menyumbang secara langsung kepada masyarakat dan memperkukuh hubungan institusi dengan komuniti setempat.
Program turut menampilkan dua sesi forum di bawah tema “Wira di Belakang Anak Istimewa: Menjaga Yang Menjaga”, yang menekankan bahawa sebelum berjuang untuk kesejahteraan murid-murid berkeperluan pendidikan khas, pihak yang paling hampir dengan mereka iaitu ibu bapa, guru dan pembantu pengurusan murid perlu terlebih dahulu dijaga, difahami dan diberi sokongan.
Sebagai kemuncak program, sesi penyerahan menti kepada mentor dijalankan di mana mentor menyerahkan buku log pementoran kepada menti masing-masing menandakan permulaan sesi pementoran berfasa dan berstruktur bermula Ogos ini dan dijangka tamat pada November 2025.
Program ini diharap mampu menjadi model amalan baik untuk diterapkan di institusi lain dalam usaha memperkasa komuniti pendidikan khas melalui kolaborasi universiti, agensi dan sekolah secara berkesan dan berterusan.